Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Veteran ATM, Orang Ramai Dijemput Sertai Beret Unity Walk

17/07/2025 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Orang ramai termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijemput menyertai Beret Unity Walk di Taman Tugu, di sini pada 27 Julai ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan bekas perajurit negara.

Program anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Warisan Wira itu merupakan inisiatif julung kali yang bertujuan meraikan anggota tentera dari pelbagai era perjuangan bermula dari zaman darurat pada 1940-an hingga penyertaan dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Setiausaha Pro Tem Warisan Wira Nik Adina Taty Nik Zainin berkata program itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk pelajar, belia, penjawat awam dan keluarga bekas tentera.

Beret Unity Walk bukan sekadar perarakan simbolik, sebaliknya medan untuk rakyat Malaysia menyatakan sokongan dan penghargaan kepada wira-wira negara. Ia juga bertujuan memupuk kesedaran masyarakat tentang pentingnya mengingati perjuangan mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Antara pengisian program yang bermula 7.30 pagi itu termasuk perarakan sekitar Taman Tugu, bacaan doa khas untuk perajurit negara serta perkongsian pengalaman daripada veteran tentera. Lebih 100 veteran tentera dijangka menyertai program berkenaan.

Nik Adina Taty berkata program ini turut menampilkan elemen istimewa iaitu sesi perpustakaan manusia yang memberi peluang kepada orang ramai mendengar kisah perjuangan dan pengalaman veteran dalam suasana santai serta mesra, sekali gus menjadi platform merapatkan hubungan antara generasi.

Beliau berkata mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) juga dijadual mempersembahkan tarian perang sebagai simbol semangat patriotik.

Beliau berkata peserta digalakkan memakai beret mengikut latar belakang ketenteraan atau organisasi masing-masing manakala orang awam turut dialu-alukan memakainya sebagai tanda solidariti kepada perjuangan veteran.

“Sebagai inisiatif yang diasaskan oleh anak-anak anggota tentera, Warisan Wira berharap program yang mendapat kerjasama Kementerian Pertahanan dan ATM menerusi jaringan persatuan-persatuan veteran tentera ini akan dijadikan acara tahunan sempena sambutan Hari Pahlawan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan