Oleh Siti Azila Alias
BATU KAWAN, 19 Julai (Bernama) -- Reruai permainan tradisional anjuran Jabatan Muzium Malaysia mencuri tumpuan pengunjung, khususnya generasi muda, sempena Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) Peringkat Kebangsaan 2025 di perkarangan Stadium Batu Kawan, di sini.
Lebih 20 jenis permainan tradisional dipamer dan dibuka untuk dicuba pengunjung, termasuk menyumpit, galah panjang, baling getah, boling kelapa, kaki hantu, batu seremban, congkak, teng-teng dan dam ular, mencerminkan kepelbagaian budaya rakyat Malaysia.
Kurator Muzium Negara Mohd Jamil Harun berkata permainan yang dipamer bukan sekadar untuk tontonan, malah membolehkan pengunjung bermain dan mengimbau nostalgia, di samping memperkenalkan semula permainan lama kepada generasi baharu.
“Ramai kanak-kanak tertarik dengan permainan kaki hantu dan Kerchang, permainan tradisional masyarakat Orang Asli yang kurang dikenali. Malah ada yang tidak tahu cara bermain lastik tin, hanya baling begitu sahaja, sebab itu kita tunjukkan teknik sebenar,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, semalam.
Beliau menegaskan pendedahan berterusan menerusi program seperti SMP penting agar permainan warisan tidak dilupakan.
Mohd Jamil berkata pelbagai aktiviti dan pertandingan turut diadakan setiap hari di reruai tersebut sepanjang empat hari SMP berlangsung, antaranya timbang chapteh, baling damak dan sepak raga gelung.
Aktiviti interaktif seperti bengkel DIY menjahit batu seremban, membuat congkak mini dan layang-layang turut mendapat sambutan menggalakkan, khususnya daripada kanak-kanak yang hadir bersama keluarga. Hasil kerja tangan mereka juga boleh dibawa pulang.
“Sejak semalam, reruai kami sentiasa dikunjungi. Ia bukan hanya menarik minat kanak-kanak, malah ibu bapa turut serta bermain bersama,” katanya.
Sementara itu, murid Sekolah Kebangsaan Convent Butterworth Amirah Farwizah Tan Ammar Firdaus Tan, 12, berkata beliau seronok mencuba permainan yang belum pernah dikenali sebelum ini.
“Saya biasa main congkak di sekolah, tapi di sini saya dapat cuba sepak chapteh dan boling kelapa. Banyak permainan tradisional yang saya baru tahu,” katanya.
Sebanyak 35 aktiviti menarik disusun sepanjang SMP 2025 yang berlangsung dari semalam hingga Ahad ini.
Antaranya termasuk pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Perkampungan Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, pameran Malaysia Tanah Airku, pameran Susur Masa oleh Jabatan Muzium Malaysia dan Pavilion Perpustakaan Malaysia.
Bertemakan “Harmoni Dalam Kepelbagaian”, SMP 2025 turut menampilkan program Food Unites, Jualan MADANI, jualan kraf tangan dan produk usahawan tempatan, pesta durian, Larian Uniti, sukan tradisional, kejohanan e-sukan, Kembara Ilmu, Pesta Buku Pulau Pinang, Wayang Pacak, Pertandingan Boria Terbuka, peragaan busana tradisional dan Pertandingan Tarian Etnik Sekolah Rendah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial