IPOH, 19 Julai (Bernama) -- Majlis perjumpaan semula bekas pelajar dan guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Perak Sangeetha Sabah di sini hari ini merupakan langkah positif dalam menyasarkan sekolah itu sebagai SJKT contoh di Perak.
Pengerusi penganjur P. Chithirakala Vasu berkata usaha ke arah itu akan dilaksanakan bekas pelajar dan guru sebagai langkah memperkukuh SJKT berkenaan untuk mencapai sasaran tersebut ketika sambutan ke-100 tahun penubuhannya.
“Setakat ini kita sudah menghubungi lebih 500 individu yang pernah belajar di sini. Pihak kami mahu sekolah ini berjaya dan cemerlang kerana sekolah ini ditubuhkan pada 1934.
“Sudah pasti ramai bekas pelajar yang kini mempunyai jawatan bagus mampu membantu memberi cadangan bagi meningkatkan prestasi sekolah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Celebrating 90 Years of Memories at Sangeetha Sabah Reunion yang dihadiri kira-kira 50 alumni.
Turut hadir ialah Naib Presiden MIC Tan Sri M. Ramasamy.
Sementara itu, Ramasamy berkata SJKT Perak Sangeetha Sabah bukan sekadar sebuah sekolah, sebaliknya merupakan institusi dan simbol dedikasi kepada pembelajaran, warisan dan nilai yang mengikat masyarakat bersama.
“Perjumpaan semula ini bukan semata-mata untuk kembali (mengenang) masa lepas, tetapi pengukuhan identiti, pengiktirafan kepada ikatan yang menyatukan kami merentasi generasi dan penghargaan kepada guru dan mentor yang memberi dengan penuh keikhlasan.
“Ia juga mencerminkan sesuatu lebih besar iaitu kekuatan komuniti dan kepentingan pendidikan berterusan sebagai kekuatan kepada kemajuan dan perpaduan,” katanya.
Diasaskan pada 1934 oleh mendiang Saravanamuthu sebagai sebuah kelas muzik kecil untuk anak-anak pekerja Keretapi Tanah Melayu, sekolah itu berkembang menjadi institusi pendidikan yang amat dihargai dalam kalangan masyarakat India tempatan.
Sekolah itu kini beroperasi di bangunan moden empat tingkat yang siap pada 2010, susulan projek pembangunan dilancarkan pada 2005 untuk meningkatkan fasiliti dan menyokong pembangunan holistik murid.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial