Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

FINAS Komited Ketengah Bakat Tempatan Ke Pentas Antarabangsa

20/07/2025 12:26 PM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) komited memperkukuh kehadiran bakat dan karya tempatan di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif strategik, termasuk dana sokongan, penyertaan ke festival filem dunia dan kerjasama rentas agensi kerajaan.

Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac berkata pencapaian anak tempatan dalam industri filem luar negara semakin menyerlah dan perlu disokong secara menyeluruh supaya menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kreatif tanah air.

“FINAS amat berbangga dan menyokong sepenuhnya kejayaan syarikat produksi tempatan serta bakat individu yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Kejayaan ini membuktikan industri kreatif kita boleh diterima dan bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata antara inisiatif utama yang disediakan FINAS ialah Dana Kandungan Kreatif (DKK), Film In Malaysia Incentive (FIMI), dana pembangunan modal insan serta dana penyertaan pasaran antarabangsa, selain promosi dan fasiliti bagi karya berpotensi tinggi.

Hans berkata FINAS turut menyediakan laluan sinergi antarabangsa melalui penyertaan ke festival dan pasaran filem utama dunia seperti Cannes, Berlinale dan Busan selain menjalinkan kerjasama dengan agensi seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), kedutaan dan agensi luar negara sebagai pemudah cara kepada pemain industri tempatan.

Beliau berkata matlamat jangka panjang adalah untuk melahirkan lebih ramai pelapis kepada tokoh industri bertaraf antarabangsa seperti Tan Sri Michelle Yeoh dan Henry Golding, termasuk tenaga kerja di belakang tabir.

Antara bakat tempatan yang kini mencuri perhatian di luar negara ialah pelakon muda Irfan Zaini yang berpeluang membintangi filem di India bersama bintang ternama negara itu, Vijay sekali gus menjadikan beliau sebagai antara wajah baharu Malaysia di pentas global.

Irfan yang sebelum ini aktif di layar tempatan, menyifatkan kolaborasi rentas negara sebagai ruang terbaik untuk menimba pengalaman dan membawa nama Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam dunia perfileman.

Mengulas perkembangan itu, Hans menyifatkan kejayaan Irfan sebagai satu penghormatan kepada industri dan menjadi bukti kebolehan anak tempatan jika diberi peluang dan sokongan.

“Saya harap Irfan akan mengambil peluang ini untuk mengharumkan nama industri kreatif tanah air dan menjadi contoh kepada penggiat industri lain. FINAS sangat bangga dengan pencapaian beliau,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan