KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Sebanyak lima kawasan di negara ini merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 3 petang, kata Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) beliau berkata kawasan terlibat ialah Nilai, Negeri Sembilan dengan bacaan IPU 162, Banting dan Johan Setia di Selangor masing-masing mencatatkan bacaan IPU 154, Putrajaya (139) dan Alor Gajah, Melaka (110).
Beliau berkata kemerosotan kualiti udara berkenaan disebabkan oleh pergerakan asap jerebu yang memasuki rantau negara dalam tempoh 24 jam lepas, dengan tiada kebakaran berskala besar dikesan dalam negara setakat ini.
"Imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 yang dirujuk oleh Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) pada 19 Julai merekodkan 65 titik panas di Sumatera, 30 di Kalimantan dan empat titik panas di dalam negara, masing-masing dua di Pahang dan Selangor," katanya.
Peta Jerebu Serantau ASMC bertarikh 20 Julai pula menunjukkan tiada lingkaran asap jerebu dikesan, namun keadaan kering dilaporkan di selatan Semenanjung Malaysia serta beberapa wilayah di Indonesia termasuk Sumatera dan Kalimantan.
Bagi menangani situasi jerebu, menurut JAS Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan pelbagai agensi kerajaan.
"Antara langkah yang digariskan dalam PTJK, termasuk pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sekiranya bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam.
"Selain itu, semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan apabila IPU melebihi 100 manakala sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta sekiranya bacaan melebihi 200. Operasi Pembenihan Awan (OPA) juga akan dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca sesuai apabila bacaan IPU melebihi 150 lebih 24 jam," menurut kenyataan itu.
JAS turut menyeru semua pemilik tanah supaya memantau kawasan berisiko tinggi seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut dan ladang supaya tidak dicerobohi atau menyebabkan pembakaran terbuka.
Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, kerana ia kesalahan di bawah Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membawa hukuman denda hingga RM1 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Di samping itu, kompaun hingga 50 peratus denda maksimum boleh dikenakan terhadap setiap kesalahan.
Sebarang kes pembakaran terbuka boleh dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, manakala maklumat terkini bacaan IPU boleh diperoleh di laman sesawang rasmi JAS di https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau melalui aplikasi mudah alih MyJAS EQMS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial