Ad Banner
 AM > BERITA

PSG 2025 : Hab Global Barang Kemas Bersinar Di Pulau Pinang

11/08/2025 10:12 PM

GEORGE TOWN, 11 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang sekali lagi menjadi tumpuan industri emas dan barang kemas serantau apabila Pameran Penang Signature Gold, Gems & Jewellery (PSG 2025) berlangsung di Pusat Konvensyen Setia SPICE mulai Jumaat hingga Ahad ini.

Pameran perdagangan emas terbesar di Asia Tenggara itu, anjuran Elite Expo Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Tukang Emas dan Peniaga Barang Kemas Pulau Pinang (PGJA), dijangka menarik lebih 5,000 pelawat perdagangan dan delegasi profesional dari seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Elite Expo Datuk Johnson Lim berkata lebih 120 gerai pameran mewakili lapan negara termasuk United Kingdom, Turkiye, China, Thailand, Singapura, India, Jepun dan Malaysia akan mengambil bahagian.

Beliau berkata pempamer akan mempamerkan rangkaian koleksi barangan kemas berkualiti tinggi merangkumi emas, permata, perhiasan halus, logam berharga, mesin pembuatan moden, serta inovasi pembungkusan dan penyelesaian teknikal terkini.

“Pameran ini eksklusif untuk pemain industri dengan penyertaan 80 hingga 85 peratus pengusaha tempatan, selain syarikat utama dari Singapura, Dubai, Indonesia dan Brunei,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden PGJA Datuk Ivan Chee dan Pengarah Golden Novelty Sdn Bhd Wu Jun Win.

Lim berkata penganjuran itu bertujuan mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab emas dan barang kemas global selain membuka peluang perniagaan serantau.

Edisi tahun ini bertepatan dengan Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia yang turut menghimpunkan tukang emas terkemuka dan persatuan dari rantau ini bagi menghadiri persidangan serta sesi rangkaian perniagaan.

Antara pengisian utama termasuk Seminar Geran Pembangunan Pasaran (MDG) oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada hari pembukaan, diikuti sesi ramalan harga emas pada 16 Ogos yang menampilkan penceramah dari World Gold Council dan Metal Focus.

“Malaysia antara pasaran barang kemas bebas cukai di Asia, menjadikannya hab perdagangan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Chee mengumumkan PSG Fair 2025 bakal memperkenalkan Minggu Fesyen Barang Kemas Pulau Pinang (PJFW) sempena Majlis Makan Malam Gala ke-37 pada 16 Ogos.

“Konsep ini bakal mencipta penanda aras baharu dalam mempersembahkan kemahiran pertukangan barang kemas tempatan dengan menggabungkan elemen haute couture dan rekaan mewah untuk tatapan pemimpin industri, pembeli serta tetamu antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan