IPOH, 20 Feb (Bernama) -- Hospital Seri Botani meneruskan komitmennya terhadap kesejahteraan komuniti dengan melaksanakan Program Infaq Mesin Pemeriksaan Tekanan Darah sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) sempena Ramadan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Eric Yeoh Kok Ming berkata pihaknya menyumbangkan tiga unit peralatan tersebut kepada Masjid Raudhatul Mukminin, Surau Diri Jumaat Al-Ansar, Seri Palma dan Surau Ta'adud Jumaat Ulul Albab, Seri Margosa.
“Sememangnya setiap kali kedatangan Ramadan, pihak kami akan mengadakan pelbagai program, namun ini kali pertama kita menyumbangkan peralatan kesihatan kepada komuniti setempat di Bandar Seri Botani ini.
“Inisiatif ini bukan sekadar sumbangan peralatan kesihatan, tetapi merupakan usaha strategik dalam membudayakan amalan saringan kendiri serta meningkatkan literasi kesihatan dalam masyarakat,” katanya selepas program sumbangan tersebut anjuran Hospital Seri Botani di Masjid Raudhatul Mukminin, Kampung Kepayang di sini hari ini.
Terdahulu, turut diadakan sesi demonstrasi penggunaan mesin berkenaan yang dilakukan oleh Penolong Pengarah Kejururawatan Hospital Seri Botani Puteri Nur Izzati Megat Abdul Samat kepada para tetamu termasuk kariah masjid.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Raudhatul Mukminin Shamsul Jamil Shahrum, 55, berkata beliau amat menghargai sumbangan berkenaan, selain meminta komuniti sekitar termasuk jemaah masjid memanfaatkan penggunaannya.
Beliau turut berharap lebih banyak pihak swasta tampil bekerjasama dengan institusi masjid atau surau bagi memperkasakan agenda kesihatan komuniti, sejajar semangat Ramadan yang menekankan nilai keprihatinan dan kebersamaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial