KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) telah bertemu pengurusan syarikat penerbangan, operator lapangan terbang, pembekal bahan api jet dan pihak berkuasa sektor udara untuk menyusun gerak kerja menghadapi impak konflik Asia Barat yang menyebabkan harga bahan api dunia melambung.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pertemuan itu antara lain membincangkan langkah jangka pendek untuk memastikan perkhidmatan pengangkutan kargo udara bagi barangan seperti makanan dapat terus beroperasi walaupun keadaan semakin mencabar, terutamanya menjelang Aidilfitri.
Loke menerusi hantaran Facebook berkata MOT juga akan berbincang dengan pihak lapangan terbang dan pemegang taruh yang berkaitan untuk menyokong kelangsungan syarikat penerbangan tempatan.
“MOT juga mengambil maklum cabaran dihadapi syarikat penerbangan. Memandangkan kos bahan api mencecah hampir separuh daripada kos operasi, syarikat penerbangan mungkin perlu menghentikan operasi penerbangan tertentu jika kos bahan api terus meningkat,” katanya.
Beliau berkata syarikat penerbangan akan berkongsi data dengan pihak berkuasa penerbangan agar penilaian risiko yang lebih menyeluruh dapat dilaksanakan.
Loke berkata dalam pertemuan itu, semua pihak bersetuju mengadakan mesyuarat setiap minggu memandangkan krisis di Asia Barat masih tidak menentu dan memerlukan tindakan pantas sekiranya terdapat perkembangan baharu.
Pada sidang media khas semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata konflik di Asia Barat menyebabkan gangguan bekalan minyak dari Selat Hormuz dengan lebih 400 kapal tangki dianggarkan terkandas dan harga minyak Brent mencecah USD119 bagi setiap tong pada 9 Mac.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial