Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia, New Zealand Zahir Komitmen Tingkat Kerjasama Depani Krisis Bekalan Global

23/05/2026 12:22 PM

PUTRAJAYA, 23 Mei (Bernama) -- Malaysia dan New Zealand menyatakan komitmen untuk mempertingkatkan kerjasama strategik mendepani krisis bekalan bahan api dan ketidaktentuan rantaian bekalan makanan dunia, terutama bagi sumber input kritikal pertanian termasuk baja, produk susu dan bijirin.

Malaysia turut menzahirkan keyakinan terhadap sistem kawal selia New Zealand bagi produk pertanian dan menggalakkan negara berkenaan meneroka peluang perkongsian kepakaran dalam bidang itu. 

Perkara itu dizahirkan ketika sesi kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia Michael Walsh ke atas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak di sini semalam.

Ad Banner
Ad Banner

Pertemuan itu adalah susulan kepada sesi perbincangan terdahulu yang diadakan pada September 2025 dalam usaha memperkukuh hubungan perdagangan pertanian dua hala antara Malaysia dan New Zealand.

KPKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan New Zealand juga menawarkan peluang pembangunan kapasiti bagi pegawai kementerian berkenaan melalui biasiswa ASEAN-New Zealand Manaaki, selain kerjasama sedia ada di bawah Jawatankuasa Sanitari dan Fitosanitari (SPS) Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-New Zealand.

Isham turut menjemput pihak New Zealand ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept 2026 di Serdang yang mengangkat tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”. 

Rekod perdagangan pertanian antara Malaysia dan New Zealand sehingga Disember 2025 mencatatkan nilai sebanyak RM5.57 bilion, iaitu eksport Malaysia merangkumi bahan makanan ternakan manakala import utama dari New Zealand terdiri daripada produk tenusu. 

Produk tenusu kekal sebagai komponen eksport terbesar New Zealand ke Malaysia, menyumbang kira-kira 75 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan dua hala bagi sektor itu.

Selain itu, kedua-dua negara turut mengekalkan kerjasama erat melalui platform serantau dan pelbagai hala, termasuk MNZFTA dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA). 

Malaysia dan New Zealand juga akan meraikan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada 2027.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan