Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Perluas Pembangunan AI Ke Luar Bandar, Perkukuh Literasi Teknologi

23/05/2026 04:23 PM

KUANTAN, 23 Mei (Bernama) -- Kerajaan sedang memperluas pembangunan kemahiran kecerdasan buatan (AI) secara menyeluruh agar tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, tetapi turut melibatkan penduduk di bandar kecil dan luar bandar, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Beliau berkata perihal kemahiran AI perlu melibatkan seluruh lapisan masyarakat termasuk golongan di lapangan seperti pemimpin komuniti, usahawan kecil, pelajar sekolah dan mahasiswa.

“Komitmen kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) amat tersusun dan terarah untuk memastikan AI bukan sahaja berlaku di bandar besar, tetapi juga di bandar kecil dan terutama di kawasan luar bandar.

Ad Banner
Ad Banner

“Pendemokrasian nilai AI ini mestilah mencakupi spektrum masyarakat, bukan sahaja masyarakat terpelajar, tetapi juga mereka yang berada di lapangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah AI MyMahir (JAM) Edisi Parlimen Paya Besar oleh Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) di sini, hari ini. 

Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata antara fokus RMK13 ialah memperkukuh literasi teknologi bagi membolehkan negara beralih daripada konsep “Made In Malaysia” kepada “Made By Malaysia”.

Beliau berkata bagi mencapai matlamat itu, seluruh lapisan masyarakat perlu memahami dan menguasai literasi teknologi agar negara mampu melahirkan lebih ramai pencipta, pembangun dan peneraju teknologi tempatan.

Program dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu menghimpunkan lebih 400 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya mahasiswa, pelajar sekolah, guru, usahawan, suri rumah, wanita, belia Felda, komuniti setempat dan orang awam. 

JAM sebelum ini telah dilaksanakan di lapan kawasan Parlimen, iaitu Kota Kinabalu, Sepanggar, Papar, Bangi, Sungai Buloh, Kluang, Parit Sulong dan Sekijang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan