JOHOR BAHRU, 24 Mei (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mencatat pencapaian membanggakan di pentas kulinari antarabangsa apabila 48 daripada 49 pesertanya meraih pingat pada Kejohanan Cef Dunia (WCC) 2026 yang berlangsung di sini.
KEMAS dalam kenyataan memaklumkan, lapan dinobatkan sebagai pemenang 'Excellent Gold', sebanyak 10 emas, 24 perak serta enam gangsa diraih dalam pertandingan yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam, melibatkan peserta daripada lebih 40 negara termasuk Thailand, Taiwan dan Singapura itu.
"Pencapaian ini membuktikan keupayaan warga KEMAS dalam menguasai kemahiran teknikal bertaraf antarabangsa, selain memperlihatkan kemampuan mengangkat identiti serta warisan kulinari tempatan ke pentas dunia," menurut kenyataan itu.
Pertandingan berkenaan merangkumi 50 kategori dalam bidang masakan, bakeri, pastri serta seni kulinari kreatif, sekali gus menjadikannya antara platform paling kompetitif.
Penyertaan jabatan itu terdiri daripada tenaga pengajar, peserta latihan kemahiran serta wakil negeri, yang membawa cabaran dalam pelbagai kategori seperti 'Modern Free Style 1 Tier Wedding Cake', 'Creative Mooncake', 'Traditional Cuisine', 'Pasta Challenge', 'Pastry and Bun' serta beberapa kategori seni kulinari kreatif lain.
KEMAS memaklumkan gabungan kreativiti, inovasi dan persembahan moden dalam setiap hasil pertandingan turut menyerlahkan nilai kemahiran yang diterapkan menerusi program pendidikan kemahiran KEMAS, khususnya dalam bidang masakan dan seni kulinari.
Kejayaan itu menjadi bukti KEMAS terus relevan sebagai institusi pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, bukan sahaja dalam melahirkan tenaga pengajar dan peserta latihan yang kompeten, malah mampu membentuk bakat tempatan yang berdaya saing pada peringkat global.
WCC 2026 edisi kelima itu melakar sejarah apabila diiktiraf ASEAN Records dan Asia Records sebagai kejohanan kulinari antarabangsa berulang terbesar berdasarkan jumlah negara peserta, bilangan cef bertanding serta penyertaan hakim antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial