Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Cabaran Wartawan Haji: Mengimbangi Amanah Dan Ibadah Di Tanah Suci

24/05/2026 10:49 AM

Daripada Amirul Mohd Sajadi

MAKKAH, 24 Mei (Bernama) -- Ketika jutaan umat Islam berhimpun di Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji dengan sepenuh tumpuan, sekumpulan kecil petugas media pula memikul tanggungjawab memastikan setiap perkembangan operasi haji sampai kepada rakyat di tanah air.

Bagi Khairdzir Md Yunus, 64, meskipun sudah hampir 19 tahun berlalu, namun pengalaman pada 2007 sebagai wartawan Bernama yang dibawa oleh Lembaga Tabung Haji (TH) ke bumi Ambia itu masih segar dalam ingatannya.

Ad Banner
Ad Banner

Khairdzir berkata tidak seperti jemaah biasa yang dapat menumpukan sepenuh masa kepada ibadah, tugas wartawan haji menuntut untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang perkembangan sepanjang musim haji, di samping menyempurnakan Rukun Islam kelima tersebut.

Berkongsi peranannya, bekas Ketua Pengarang Bernama itu berkata setiap hari rutinnya di Tanah Suci bermula dengan pemantauan aktiviti jemaah, sidang media, lawatan kerja pengurusan haji dan pelbagai tugasan lain yang perlu dilaporkan kepada rakyat Malaysia.

"Kami datang sebagai petugas media, tetapi pada masa sama kami juga menunaikan haji. Jadi cabarannya ialah bagaimana hendak mengimbangi kedua-dua tanggungjawab itu," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Menurut Khairdzir, keadaan menjadi lebih mencabar kerana teknologi komunikasi ketika itu jauh berbeza berbanding hari ini.

"Pada masa itu, peranti Blackberry merupakan antara peralatan paling penting untuk kami. Internet sangat terhad dan kadang-kadang saya perlu mencari lokasi tertentu seperti Masjidil Haram untuk menghantar laporan ke Kuala Lumpur," katanya.

Kesibukan tugasan turut menyebabkan ada ketika petugas media terpaksa menyesuaikan jadual ibadah dengan keperluan operasi.

Khairdzir mengimbau pengalaman sekumpulan wartawan yang berada di Masjidil Haram sukar dihubungi kerana tiada liputan ketika pihak pengurusan haji memerlukan kehadiran mereka bagi membuat liputan segera.

Beliau berkata peristiwa itu menjadi peringatan bahawa walaupun berada di Tanah Suci, amanah profesional tetap perlu dilaksanakan.

"Kami sedar tanggungjawab ketika itu adalah memastikan rakyat Malaysia mendapat maklumat tepat dan cepat mengenai perjalanan haji.

"Pada masa sama, kami juga tidak mahu melepaskan peluang beribadah di tempat yang penuh keberkatan ini," katanya.

Menurut Khairdzir, pengalaman itu mengajar petugas media mengenai pengorbanan di sebalik setiap laporan yang dibaca atau ditonton masyarakat.

"Ramai melihat berita yang diterbitkan, tetapi tidak mengetahui cabaran di sebalik usaha mengumpul maklumat, menulis laporan dan menghantarnya dalam keadaan serba terhad," katanya.

Kini, selepas menamatkan 37 tahun perkhidmatan, Khairdzir kembali ke Tanah Suci sebagai Duyufurrahman.

"Tiada lagi tugasan perlu disiapkan atau laporan perlu dihantar. Sebaliknya, saya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah yang suatu ketika dahulu terpaksa dikongsi dengan tanggungjawab profesional," katanya.

Beliau menyifatkan wartawan haji bukan sekadar pelapor yang merakam perjalanan jemaah, tetapi juga sebahagian daripada perjalanan itu sendiri.

"Apabila melihat kembali pengalaman 2007, saya bersyukur kerana diberi peluang merasai kedua-dua peranan iaitu sebagai wartawan melaporkan haji dan sebagai jemaah yang melaksanakannya.

"Kedua-duanya memberi pengalaman berbeza, tetapi sama-sama mengajar saya tentang amanah, kesabaran dan keikhlasan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan