Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Anak Muda Jadi Duta Promosi Budaya Sabah, Sarawak Di BNF 2026

24/05/2026 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Kepelbagaian budaya Borneo terus menyerikan ibu kota apabila anak muda Sabah dan Sarawak tampil sebagai ‘duta kecil budaya’ menerusi perarakan kebudayaan bersempena dengan Borneo Native Festival (BNF) 2026.

Walaupun berjauhan dari kampung halaman, peserta tetap berbangga memperkenalkan identiti etnik masing-masing apabila menyusuri laluan dari Dataran Merdeka ke Pasar Seni dengan mengenakan pakaian tradisional penuh warna-warni, sekali gus mencuri perhatian pengunjung tempatan dan pelancong asing.

Peserta perarakan, Nathaniel Frayshion, 15, berkata penyertaan hampir setiap tahun bersama keluarganya bukan sahaja mengubati kerinduan terhadap kampung halaman di Sabah, malah mengeratkan hubungan komuniti Borneo di Semenanjung.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau yang mengenakan baju tradisi Murut berkata perarakan kebudayaan itu penting bagi mendekatkan golongan muda dengan warisan etnik masing-masing.

"Biarpun saya lahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur tapi saya tidak lupa asal usul keturunan keluarga yang berasal dari Keningau, manakala sebelah ibu pula berasal dari Tambunan.

"Melalui perarakan ini, saya turut belajar tentang pakaian tradisi etnik lain. Acara sebegini penting kerana masih ramai anak muda yang tidak mengenali budaya kaum etnik lain, jadi kalau ada peluang, sertailah perarakan begini," katanya kepada Bernama.

Turut berkongsi pandangan sama, Noorzia Mursalin, 35, menyifatkan perarakan kebudayaan itu menjadi medium penting memperkenalkan budaya masyarakat Borneo kepada masyarakat di Semenanjung serta pelancong asing.

Sudah 12 tahun bekerja di Kuala Lumpur, Noorzia berbangga dapat mengenakan busana tradisi etnik Idaan dari Lahad Datu walaupun perlu membelanjakan kira-kira RM300 untuk menyiapkannya.

"Saya bangga menjadi satu-satunya orang Sabah yang mengenakan pakaian kaum Idaan dari Lahad Datu. Perarakan itu penting kerana budaya masyarakat Sabah dan Sarawak sangat unik, namun kurang dikenali dalam kalangan masyarakat di Semenanjung serta pelancong asing,” katanya.

Sementara itu, Florence Johnny, 36, berkata penyertaan kali kedua dalam perarakan BNF memberikan peluang kepadanya memperkenalkan pakaian etnik Iban Sarawak secara lebih meluas kepada masyarakat.

Walaupun aksesori yang digunakan hanya kira-kira 20 hingga 30 peratus, dia tetap berbangga dapat mewakili identiti etniknya dalam acara berkenaan.

“Kalau dulu ramai tidak kenal budaya Sabah dan Sarawak, tetapi kini semakin ramai mula mengenalinya melalui program seperti ini,” katanya.

Perarakan kebudayaan yang diadakan petang semalam adalah antara pengisian BNF 2026, yang berlangsung di Pasar Seni dari 22 Mei hingga hari ini.

Program anjuran Persatuan Sukaseni Kuala Lumpur itu diadakan bersempena dengan sambutan Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan