Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Muhammad Nazirullah Nekad Usahakan Tanaman Bawang Merah Untuk Bantu Kurangkan Import Negara

24/05/2026 01:39 PM

Oleh Siti Fauziah Hasan

KUALA PILAH, 24 Mei (Bernama) -- Selepas beberapa tahun mengusahakan tanaman cili, seorang anak muda di sini kini mencuba bidang baharu apabila memulakan tanaman bawang merah tempatan menerusi projek percubaan menggunakan 500 polibeg, tahun lepas.

Muhammad Nazirullah Mohamad Nazlan, 32, berkata keputusan menceburi tanaman bawang merah bukan hanya membuka peluang pendapatan baharu, malah didorong hasrat membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bawang merah yang ketika ini masih tinggi.

Ad Banner
Ad Banner

Berkongsi cerita, anak jati Negeri Sembilan itu berkata penglibatannya dalam tanaman bawang bermula selepas menerima tawaran kerjasama daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada Oktober tahun lepas.

“Sebelum ini saya fokuskan kepada tanaman cili sejak 2019, tetapi MARDI datang dan tawarkan projek tanaman bawang merah ros atau BAW-2, mereka bagi benih untuk kami buat percubaan selain membantu termasuk dari segi pemantauan dan teknologi.

“Saya bermula dengan 500 polibeg sahaja dan hasil pertama dituai Mac lepas. Satu polibeg boleh hasilkan antara 500 hingga 700 gram bawang dan 500 polibeg dapat hasil kira-kira 250 kilogram,” katanya ketika ditemui Bernama di ladang tanaman bawang miliknya di Ulu Pilah, di sini.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata hasil memberangsangkan itu mendorong pihaknya melakukan lawatan ke ladang bawang di Bachok, Kelantan dan Gopeng, Perak bagi mempelajari lebih mendalam teknik penanaman tanaman itu secara komersial sebelum mengambil keputusan memperluas projek berkenaan.

Muhammad Nazirullah berkata selepas melihat potensi besar tanaman itu, dia kini mengusahakan kira-kira 51,000 polibeg bawang merah di tiga plot tanaman berasingan dengan keluasan keseluruhan lapan ekar.

“Bawang merah boleh dituai dalam masa 75 hari dan tanaman ini boleh ditanam hingga empat musim dalam setahun,” katanya sambil menambah mempunyai sebuah lagi ladang bawang di Tanjung Ipoh berkeluasan 55 ekar yang dijangka boleh beroperasi Julai ini.

Dia yang mempunyai latar belakang dalam pengajian perniagaan itu berkata sektor tanaman bawang merah tempatan mempunyai prospek besar memandangkan hampir 100 peratus bekalan bawang negara masih bergantung kepada import.

“Kerajaan sasarkan untuk kurangkan kebergantungan terhadap import bawang merah sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2030. Sekarang ini kami masih dalam fasa pembenihan dan membina ekosistem supaya bekalan benih mencukupi sebelum pengeluaran diperluas,” katanya.

Berpengalaman hampir 10 tahun dalam bidang pertanian, Muhammad Nazirullah berkata tanaman itu lebih mudah diurus kerana tidak memerlukan kandungan air terlalu tinggi selain sesuai ditanam dalam persekitaran terkawal seperti rumah pelindung hujan (SPH).

“Ia juga kurang berpenyakit dan memerlukan kos penyelenggaraan lebih rendah. Sistem fertigasi dan teknologi Internet benda (IoT) membolehkan siraman serta pembajaan dilakukan secara automatik, iaitu kira-kira seminit setiap jam.

“Pembajaan pula dibuat mengikut peringkat pertumbuhan pokok dan disalurkan bersama air secara automatik. Sistem ini membantu memastikan pokok mendapat nutrien mencukupi selain mengurangkan risiko penyakit,” katanya yang dibantu seorang pengurus bersama enam pekerja.

Muhammad Nazirullah berkata hasil tuaian pertama sebanyak tiga tan sebelum ini dijual kepada MARDI pada harga RM7 sekilogram menerusi kontrak kerjasama selama lima tahun yang turut melibatkan proses pembenihan semula.

Dalam pada itu, dia mengakui kos pembangunan sistem tanaman moden menjadi antara cabaran terbesar pada peringkat awal projek.

“Dari segi sistem memang perlukan kos besar, saya menggunakan modal hampir RM400,000 untuk pembangunan infrastruktur termasuk SPH dan sistem fertigasi. Namun sistem ini dapat mengurangkan risiko kerugian terutama ketika musim hujan,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Muhammad Nazirullah berharap membangunkan produk hiliran seperti bawang goreng selain menembusi pasaran eksport apabila pengeluaran stabil sepenuhnya dengan sasaran pengeluaran hingga 15 hingga 20 tan seekar bagi setiap musim.

“Kalau semuanya berjalan lancar, kami sasarkan hasil dan pendapatan lebih besar dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Harapan saya suatu hari nanti Malaysia mampu hasilkan bawang tempatan sendiri secara besar-besaran dan tidak terlalu bergantung kepada import,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan