Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Agensi Pembiayaan KUSKOP Turun Padang Dekati PMKS - Sim

24/05/2026 02:34 PM

GEORGE TOWN, 24 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggerakkan empat agensi pembiayaannya untuk turun padang mendekati perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memberi khidmat nasihat serta bantuan pembiayaan secara terus.

Menteri berkenaan Steven Sim berkata empat agensi itu ialah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional), Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Bank dan Bank Rakyat yang sentiasa dilibatkan termasuk ketika Jualan MADANI KUSKOP di seluruh negara

Beliau berkata langkah berkenaan juga selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar agensi mikrokredit lebih proaktif mendekati rakyat dan golongan usahawan di lapangan.

Ad Banner
Ad Banner

“Kami selalu turun padang, beri khidmat nasihat secara bersemuka dan jika ada yang berminat untuk daftar dengan dokumen lengkap boleh buat permohonan serta-merta.

“Jadi, kita tidak tunggu pelanggan datang ke pejabat tetapi kita cari pelanggan, usahawan atau peniaga kecil untuk memberikan bantuan kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Hari Keluarga Sempena Jualan MADANI KUSKOP Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang.

Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan meminta agensi berkaitan mempergiat usaha turun padang untuk memberi penerangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai kemudahan pembiayaan dan bantuan yang disediakan kerajaan.

Beliau berkata perkara itu penting bagi memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada menikmati pelbagai inisiatif yang diwujudkan khusus untuk membantu meningkatkan pendapatan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Sementara itu, Sim berkata KUSKOP juga sentiasa terbuka untuk berbincang dengan peminjam PMKS yang berdepan masalah aliran tunai atau terkesan akibat krisis ekonomi serta bencana.

Beliau berkata ia termasuk melalui moratorium dan penjadualan semula pembayaran balik pinjaman yang merupakan sebahagian daripada usaha kementerian membantu PMKS.

Menurutnya kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) melibatkan agensi pembiayaan di bawah KUSKOP juga menunjukkan penambahbaikan sejak satu hingga dua tahun kebelakangan ini dengan jumlah peminjam culas semakin berkurangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan