Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Periuk Kera "Nepenthes Rafflesiana", Enggang Badak Antara Spesies Direkodkan Di CFS Johor

24/05/2026 04:32 PM

MERSING, 24 Mei (Bernama) -- Beberapa spesies flora dan fauna penting berjaya direkodkan menerusi Eksplorasi Biodiversiti di Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (CFS) Hutan Simpan Lenggor dan Hutan Simpan Mersing, sekali gus memperkukuh kepentingan kawasan berkenaan sebagai habitat biodiversiti bernilai tinggi negara.

Pengarah Perhutanan Johor Mohd Syahrir Azrin Salleh berkata eksplorasi selama lima hari bermula 18 Mei itu menemukan pelbagai spesies unik termasuk tumbuhan karnivor, orkid liar, tumbuhan herba, tumbuhan akuatik, serangga, amfibia, reptilia, burung dan mamalia liar.

Beliau berkata antara spesies yang berjaya direkodkan ialah periuk kera atau Nepenthes rafflesiana dan Nepenthes gracilis, Scaphochlamys johorensis, orkid Bulbophyllum macranthum, kuang raya (Great Argus), enggang badak (Rhinoceros Hornbill), tapir Malaya (Tapirus indicus) dan beruang matahari (Helarctos malayanus).

Ad Banner
Ad Banner

“Spesies-spesies ini menjadi indikator utama kepada keseimbangan ekosistem hutan tropika negara selain membuktikan Hutan Simpan Lenggor dan Hutan Simpan Mersing masih kaya dengan khazanah biodiversiti yang perlu dipelihara,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan program penutup eksplorasi itu di sini baru-baru ini. 

Program anjuran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu menghimpunkan 78 penyelidik dan pakar biodiversiti daripada institusi pengajian tinggi, institusi penyelidikan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi antarabangsa termasuk Copenhagen Zoo Malaysia.

Mohd Syahrir Azrin berkata penemuan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh konservasi biodiversiti dan pengurusan hutan secara lestari.

Beliau berkata hasil penemuan dan penyelidikan daripada eksplorasi tersebut akan diterbitkan dalam bentuk prosiding dan buku dokumentasi biodiversiti bagi menyokong Seminar Eksplorasi Biodiversiti CFS Lenggor-Mersing yang dijangka diadakan tahun depan.

Dalam pada itu, satu surat hasrat (LoI) Living Lab CFS Hutan Simpan Lenggor dan Hutan Simpan Mersing turut dimeterai antara JPNJ dan UTHM bagi memperkasakan penyelidikan, pendidikan, inovasi serta pembangunan kapasiti berkaitan biodiversiti dan pengurusan hutan lestari.

Selain itu, pelancaran inisiatif Sahabat CFS melibatkan sembilan kampung di Kluang dan Mersing turut diadakan bagi memperkukuh penglibatan komuniti setempat dalam usaha pemeliharaan rangkaian ekologi negara.

“Mereka berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan dalam membantu melindungi khazanah hutan negara daripada ancaman pencerobohan dan kemusnahan alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan) UTHM Prof Madya Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar berkata kawasan CFS meliputi 6.71 juta hektar dan menjadi koridor penting bagi pergerakan hidupan megafauna termasuk harimau Malaya dan gajah Asia.

Beliau berkata fokus eksplorasi tertumpu kepada ‘Primary Linkage 1’ dalam landskap Endau-Rompin yang dikenal pasti sebagai koridor ekologi kritikal di negara ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan