KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada 49 Pemaju Masyarakat bidang masakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang berjaya meraih 48 pingat pada Kejohanan Cef Dunia (WCC) 2026 yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir semalam di Johor Bahru.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata kejayaan pada kejohanan bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan peserta dari lebih 40 negara itu merupakan pencapaian luar biasa yang wajar dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, tenaga pengajar, jurulatih serta warga KEMAS yang bertungkus-lumus membawa nama negara dengan penuh semangat dan dedikasi.
“Apa yang lebih membanggakan, kejayaan ini turut mengetengahkan identiti kulinari tempatan ke peringkat dunia menerusi kreativiti dan kemahiran dimiliki warga KEMAS.
“Daripada masakan tradisional hingga seni kulinari moden, semuanya berjaya dipersembahkan dengan cemerlang sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya.
Ahmad Zahid berkata kejayaan itu membuktikan institusi latihan kemahiran di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus relevan dalam melahirkan bakat berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di pentas global.
“Saya percaya pencapaian ini akan menjadikan kualiti Pemaju Masyarakat bidang masakan KEMAS lebih dipandang tinggi dan menarik lebih ramai anak muda melihat bidang kemahiran sebagai laluan masa depan yang lebih jauh.
“Teruskan melakar kejayaan dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial