Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

IWK Bantu OKU Menerusi Jualan Tiket "Rise & Revive"

24/05/2026 06:09 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd berjaya mengumpul lebih RM8,000 menerusi hasil jualan tiket program kesihatan dan kesejahteraan, Rise & Revive bagi disalurkan kepada dua pertubuhan berkaitan orang kurang upaya (OKU), hari ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat IWK Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata kutipan itu disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur (PKAKL) dan Malaysia Federation of the Deaf (MFD), dengan setiap pertubuhan menerima lebih RM4,000.

Beliau berkata masing-masing 30 peserta daripada PKAKL dan MFD turut menyertai program berkenaan bersama-sama komuniti awam yang lain. 

Ad Banner
Ad Banner

“Kita mahu program yang bukan sahaja menyihatkan, memberi kesejahteraan dan suasana positif malah turut membawa nilai amal apabila semua kutipan tiket diberikan kepada dua NGO terpilih.

“Paling baik, mereka turut menyertai program ini bersama komuniti termasuk peserta daripada persatuan pekak yang dibantu oleh penterjemah supaya mereka juga boleh mengikuti aktiviti,” katanya ketika sidang media selepas program Rise & Revive di IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini, hari ini.

Program anjuran IWK dengan kerjasama Prahara Studio itu bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat di samping memperkukuh nilai keterangkuman, kebolehcapaian dan penyertaan komuniti.

Sehubungan dengan itu, Wan Esuriyanti berkata Rise & Revive juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Sahabat Istimewa IWK yang memberi tumpuan kepada usaha memperkasa golongan OKU daripada pelbagai spektrum.

Beliau berkata IWK mahu memberi keutamaan kepada golongan OKU menerusi program tanggungjawab sosial korporat kerana kumpulan itu juga mampu menyumbang kepada masyarakat sekiranya diberi ruang dan peluang.

“Sebab itu hari ini kita dapat lihat mereka boleh menari, melakukan yoga dan ‘pound’ bersama komuniti lain,” katanya.

Program tersebut dimulakan dengan sesi yoga bersama Atilia Haron, diikuti Flyjam bersama Mimifly dan Poundfit bersama Hanis.

Dalam pada itu, Wan Esuriyanti berkata IWK turut merancang memperluaskan inisiatif Sahabat Istimewa IWK ke luar Lembah Klang dengan kerjasama pejabat operasi syarikat itu di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.

Selain aktiviti senaman, program itu turut menampilkan ruang jualan vendor tempatan dan diakhiri dengan persembahan khas oleh Atilia Haron dan Mimifly.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan