BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
BENCANA NEGARA

SPAN meterai MoU dengan 12 operator air

17/05/2022 08:34 PM

PUTRAJAYA, 17 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan 12 operator air di bawah seliaannya untuk kerjasama menghadapi krisis bekalan air akibat bencana alam atau luar jangka.

MoU ditandatangani SPAN dengan operator-operator air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dan disaksikan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

SPAN dalam kenyataan hari ini memaklumkan memorandum itu merupakan satu inisiatif SPAN dan operator air dalam mewujudkan satu usahasama dan kerjasama strategik bagi memberi bantuan semasa menghadapi krisis bekalan air.

Menurut SPAN, MoU pertama telah ditandatangani pada 3 November 2015 dan perjanjian itu perlu disemak semula memandangkan terdapat pindaan struktur operator air di beberapa negeri. 

“SPAN berperanan sebagai penyelaras bagi bantuan dalam kalangan operator air.

“Operator air yang terlibat dalam krisis bekalan air di kawasan operasi masing-masing boleh mengemukakan permohonan kepada SPAN untuk mendapatkan bantuan daripada operator air yang lain,” menurut kenyataan itu.

SPAN akan mengkaji kewajaran permohonan untuk bantuan tersebut sebelum meluluskannya dan seterusnya mendapat persetujuan daripada operator lain untuk membantu pihak yang terlibat.

Sekiranya perlu, SPAN juga akan menyelaraskan bantuan daripada pihak agensi-agensi lain seperti menyediakan tenaga kerja yang bersesuaian atau terlatih dalam bidang masing-masing.

Bantuan lain adalah menyediakan peralatan dan jentera seperti jana kuasa mudah alih, lori tangki dan tangki statik mudah alih dan sebagainya bergantung kepada situasi krisis dan menggerakkan misi bantuan dalam masa 24 jam setelah mendapat permintaan daripada SPAN.

Sementara itu, Tuan Ibrahim dalam kenyataan sama berkata memorandum itu dibuat bagi menyeragamkan sebarang bantuan yang dihulurkan dan pertikaian atau perbezaan yang wujud harus diselesaikan melalui rundingan.

Beliau berharap agar semua operator air di bawah kawal selia SPAN dapat bekerjasama dengan berteraskan prinsip setia kawan dalam memberi bantuan sebagai sebuah keluarga besar dalam kalangan operator air selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan