BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
BENCANA NEGARA

Bantuan RM200 kepada pesawah untuk enam bulan sementara tunggu hasil tuaian - PM

19/05/2022 12:22 AM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju memberi bantuan bulanan RM200 untuk enam bulan kepada pesawah sementara menunggu hasil tuaian.

Beliau berkata bantuan itu telah dibincangkan bersama dengan Kementerian Kewangan dan akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang dijangka dibentang pada Oktober ini.

"Sebanyak RM200 untuk tiga bulan untuk dua musim iaitu enam bulan bagi membantu mereka sementara menunggu padi dituai," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Ke-48 di sini malam ini.

Ismail Sabri berkata sebelum ini, penoreh getah mendapat bantuan musim tengkujuh kerana tiada pendapatan selama tiga bulan iaitu pada November, Disember dan Januari.

"Masa tu saya Menteri (ketika menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) dan nelayan juga terima elaun daripada RM200 kepada RM300 termasuk nelayan darat. Saya terkejut pesawah tak dapat,” katanya.

Semasa membentangkan Belanjawan 2018, kerajaan telah mengumumkan bantuan bulanan RM200 kepada pesawah dalam tempoh tiga bulan sementara menunggu hasil tuaian.

Mengulas isu kawalan harga ayam dan telur di negara ini, Ismail Sabri mengesyorkan NAFAS menguasai sepenuhnya rantaian pengeluaran bekalan bahan makanan itu supaya dapat membantu kerajaan dan mengelak daripada ‘diugut’ oleh pengeluar bekalan berkaitan harga.

“Saya setuju NAFAS menguasai rantaian pengeluaran ayam yang bukan sahaja daripada ayam tetapi anak ayam malah makanan ayam juga, dan saya harap rantaian ini dikuasai NAFAS.

“Ahli NAFAS  juga mencukupi, ada sejuta dan boleh masuk pasaran (pengeluar bekalan ayam) dan saya sudah beritahu menteri bahawa kita (kerajaan) tidak boleh biarkan (diri) sentiasa diugut pengeluar ayam sebab itu, saya minta NAFAS dan pengeluar pasaran ayam ini dikuasai oleh kita supaya tidak diugut oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan meluluskan peruntukan RM4.47 juta daripada Tabung Bencana Pertanian bagi membantu 29 Pertubuhan Peladang dan 483 ahli yang terjejas akibat bencana alam tahun ini.

“Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan ini akan disalurkan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang di tujuh negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Pada majlis itu, NAFAS mengumumkan agihan kadar dividen sebanyak lapan peratus bagi Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) Dana Peladang Kebangsaan (DPK) untuk tahun kewangan berakhir Disember 2021.

Pengagihan itu membabitkan jumlah pembayaran RM8.5 juta yang akan memberi manfaat kepada hampir 6,000 pelabur dalam kalangan ahli peladang dan dibayar pada Jun ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zamri Yaakob.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan