BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
BENCANA NEGARA

Pelbagai bantuan disalur untuk ibu tunggal di Sarawak berniaga

20/05/2022 01:56 PM

KUCHING, 20 Mei (Bernama) -- Pelbagai bantuan disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) dan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) bagi membantu golongan ibu tunggal yang berhasrat untuk menjalankan perniagaan mikro bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti negeri Datuk Rosey Yunus berkata satu daripadanya adalah Bantuan Geran Pelancaran sebanyak RM5,000 dalam bentuk peralatan disalurkan melalui JKMS.

“Sehingga April 2022, seramai 364 ibu tunggal telah menerima bantuan dan bimbingan JKMS dan masih aktif berniaga,” katanya  ketika menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Dudong) ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Caruman berjumlah RM60 sebulan oleh kerajaan Sarawak untuk Program Kasih Suri Keluarga Malaysia turut disalurkan melalui JWKS bagi ketua isi rumah wanita atau isteri ketua isi rumah yang berdaftar di bawah e-Kasih sebagai tujuan persaraan dan menggalakkan mereka menabung dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Antara manfaat yang mereka peroleh di bawah inisiatif tersebut adalah insentif RM480 daripada kerajaan Persekutuan, bantuan hilang upaya RM5,000 dan bantuan khairat kematian sebanyak RM2,500.

Rosey berkata JWKS turut menyediakan latihan seperti Latihan Kemahiran Wanita, Bounce Back Your Businesses dan Pelesenan Usahawan Wanita Sarawak (PUWAS) untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran bertujuan meningkatkan ekonomi ibu-ibu tunggal.

Bantuan Mikro Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) juga katanya adalah satu daripada bantuan kerajaan negeri untuk ketua isi rumah wanita atau ibu tunggal dalam mewujudkan peluang untuk menjana pendapatan sendiri.

Ibu-ibu tunggal turut dibantu dalam perniagaan mikro oleh agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED); Jabatan Pertanian Sarawak; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM); Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN); Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Rosey menyeru supaya Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu untuk mencadangkan di Parlimen supaya Bantuan Khas Ibu Tunggal berjumlah RM300 secara one off di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kerajaan Persekutuan semasa pandemik COVID-19 diteruskan untuk membantu ibu-ibu tunggal.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan