BENCANA NEGARA

KASA MOHON PERUNTUKAN RM155 JUTA LAKSANA RANCANGAN TEBATAN BANJIR SUNGAI JELAI

20/05/2022 06:09 PM

KUALA PILAH, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah memohon peruntukan berjumlah RM155 juta bagi melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Jelai di sini bagi mengatasi masalah banjir di sekitar kawasan Johol.

Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata peruntukan itu adalah menerusi Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang merupakan antara tindakan jangka panjang bagi mengatasi masalah yang kerap berlaku di kawasan tersebut.

“Bagi tindakan jangka pendek pula, kerajaan telah memperuntuk sebanyak RM173,545 bagi program pemuliharaan Sungai Batang Jelai bagi mengurangkan risiko banjir di Kampung Kabong, Johol dekat sini dengan kerja pengorekan dan pembersihan sungai bermula 17 Mei lepas.

"Kita juga melebarkan kawasan bagi membolehkan aliran air mengalir terus. Sungai Batang Jelai ini merupakan hulu Sungai Muar justeru, kita perlu pastikan kawasan ini tidak mengalami masalah bukan sahaja banjir malah banjir lumpur," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan terkesan banjir di jajaran Sungai Jelai hari ini.

Beliau berkata aktiviti pembersihan hutan secara keterlaluan dan tidak mengikut garis panduan adalah antara punca yang menjejaskan ekosistem sekali gus menjadi penyumbang kepada insiden banjir di negara ini.

“Apabila hujan, air terus masuk ke dalam sungai dan sekiranya di hutan ada pokok getah dan sebagainya, mungkin 10 peratus sahaja air masuk ke dalam sungai," katanya sambil menambah kaedah pembersihan tanah hutan perlu ditangani dan dilaksanakan mengikut prosedur yang tepat untuk mengatasi punca berlaku banjir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan