BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
BENCANA NEGARA

Lebih 100,000 individu dapatkan perkhidmatan sokongan mental MIASA sejak Ogos 2020

21/05/2022 03:28 AM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Lebih 100,000 individu telah mendapatkan perkhidmatan sokongan mental daripada Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) sejak Ogos 2020 hingga Mac tahun ini.

Presiden MIASA Anita Abu Bakar berkata daripada jumlah itu, golongan berumur 25 hingga 40 tahun adalah kelompok yang paling banyak membuat panggilan manakala kanak-kanak berusia lapan tahun pula menjadi pemanggil termuda.

Beliau berkata keadaan ini terjadi kerana ramai individu termasuk kanak-kanak terputus sistem sokongan ketika pandemik COVID-19 ditambah pula dengan tekanan tidak dapat berjumpa dan berinteraksi secara fizikal bersama guru serta rakan sekelas. 

“Ini menyebabkan ramai termasuk kanak-kanak tidak tahu cara untuk meluahkan perasaan sebab apabila di rumah, ibu bapa mereka sibuk. Jadi disebabkan oleh gabungan kesemua faktor itu, ramai yang terjejas kesihatan mental.

“Mujur ada media sosial, jadi mereka menghubungi kami dan dari situ, kami memberikan sesi bantuan dengan keizinan ibu bapa tetapi malangnya, sesetengah mereka sudah dalam keadaan yang teruk… murung, mempunyai kebimbangan melampau dan ada yang berfikiran untuk mengakhiri hidup,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Perlawanan Amal Bola Sepak ‘Kick for Mental Health’ anjuran MIASA yang disempurnakan oleh Penaung Perikatan Kesihatan Mental Kebangsaan (NAMH) Senator Datuk Ras Adiba Radzi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hari ini.

Ras Adiba pula menggesa masyarakat agar membuang rasa malu dan segera mendapatkan sokongan sekiranya mengesyaki diri mengalami masalah kesihatan mental.

Beliau berkata bukan menjadi kesalahan jika seseorang mendapatkan bantuan mental kerana tidak semua perkara dalam kehidupan boleh dikawal mengikut kehendak masing-masing. 

“Usah malu kerana kita ini lemah, jadi penting untuk kita mendapatkan bantuan. Kita perlu sedar bahawa adalah okey untuk berada dalam keadaan tidak okey, tidak ada orang yang sempurna,” katanya.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan