BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
BENCANA NEGARA

Bantuan RM200: Pesawah perlu berdaftar dengan pejabat pertanian

21/05/2022 02:32 PM

PASIR PUTEH, 21 Mei (Bernama) -- Hanya pesawah yang berdaftar dengan pejabat pertanian akan menerima bantuan bulanan RM200 untuk enam bulan sementara menunggu hasil tuaian, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Beliau berkata sehubungan itu, pesawah yang belum berdaftar diminta segera menghubungi pejabat pertanian berdekatan serta melengkapkan pendaftaran mereka bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan itu nanti.

“Kita (MAFI) memberi jaminan mereka yang berdaftar dengan pejabat pertanian sahaja layak mendapat bantuan itu bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Mesra Aidilfitri Parlimen Pasir Puteh, di sini hari ini.

Pada Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju memberi bantuan bulanan RM200 untuk enam bulan kepada pesawah sementara menunggu hasil tuaian.

Beliau berkata bantuan itu telah dibincangkan bersama dengan Kementerian Kewangan dan akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang dijangka dibentang pada Oktober ini.

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata bantuan kepada pesawah itu membuktikan kerajaan sangat prihatin dengan nasib golongan tersebut.

“Bantuan itu juga memberi semangat baharu kepada golongan pesawah untuk bekerja lebih keras sebagai barisan hadapan bagi menyediakan bekalan makanan yang mencukupi terutama beras bagi keperluan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan