BENCANA NEGARA

JAWATANKUASA KHAS WAKIL RAKYAT, PEMBANGKANG DITUBUH TANGANI BANJIR KILAT

24/06/2022 12:29 PM

MELAKA, 24 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri akan membentuk satu jawatankuasa khas di setiap daerah yang akan dianggotai setiap wakil rakyat kerajaan dan pembangkang serta jabatan berkaitan untuk 'duduk semeja' bersama menangani isu banjir kilat yang kerap melanda di negeri ini. 

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata setakat ini lebih 20 kawasan dikenal pasti kerap berlaku banjir kilat apabila hujan lebat dan ia dipercayai berpunca daripada masalah perparitan.

"Seperti semalam banjir yang berlaku, bukanlah banjir termenung sehingga tiga atau empat hari tetapi limpahan air yang tidak dapat mengalir. Keadaan pulih selepas beberapa jam selain terdapat kawasan yang berulang kali berlaku masalah sebegini pada tahun ini.

"Jadi semalam kami telah berbincang mengenai perkara ini bagi membolehkan semua pihak memberikan cadangan untuk sama-sama menyelesaikan masalah banjir kilat di kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang turut diiringi Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata setakat ini semua kerja-kerja naik taraf seperti menyelenggara dan menambah baik saliran perparitan sedang dilaksanakan termasuk kawasan kerap berlaku banjir kilat.

“Beberapa kawasan selalu berlaku banjir dulu, seperti di Jasin juga semakin baik dengan kerja-kerja penambaikan dibuat agar penduduk tidak berdepan lagi masalah ini. 

"Ada projek-projek sedang dalam pelaksanaan, ada yang di peringkat tender dan insya-Allah jika penambahbaikan ini dijalankan kita dapat mengurangkan isu banjir ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata pelaksanaan ibadah korban tahun ini boleh dilaksanakan tanpa ada sebarang halangan dan syarat khusus seperti tahun sebelumnya yang disebabkan prosedur operasi standard (SOP) ketat ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Ini jelasnya termasuklah tiada had bilangan haiwan korban yang ditetapkan dalam satu-satu masa berbanding sebelum ini.

"Namun semua yang melaksanakan ibadah itu perlu mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM)," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan