BENCANA NEGARA

BANJIR KILAT BERULANG DI KG PAYA RUMPUT JAYA, PERTERNAK LEMBU KORBAN ALAMI KERUGIAN BESAR

24/06/2022 02:38 PM

Oleh Rashidah Abd Rahim

MELAKA, 24 Jun (Bernama) -- Bencana banjir kilat yang kerap kali berulang di Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang di sini bukan sahaja membebankan penternak dan menyebabkan kerugian besar namun ia turut dibimbangi menjejaskan bekalan lembu korban untuk Hari Raya Aidiladha.

Mohd Anuar Sulaiman, 41, berkata sejak Januari lepas sudah tiga kali banjir kilat berlaku di kampung berkenaan sekali gus menyebabkan kandang ternakannya seluas 0.1 hektar yang menempatkan 40 ekor lembu termasuk lebih 10 ekor untuk bekalan korban, ditenggelami banjir.

Katanya situasi banjir kilat bukan saja menyebabkan lembu peliharaannya terperangkap di kandang tersebut tetapi turut menjadi punca laluan masuk ke kandang lembu yang diusahakannya sejak 10 tahun itu tidak dapat diakses, sehingga pernah mencecah selama dua hari dan mengakibatkan lembunya terputus bekalan makanan.

"Ini kali ketiga banjir kilat berlaku di kandang ini dan sekitar kawasan pertanian di Kampung Paya Rumput. Masalah banjir kilat ini mula berlaku sejak enam tahun lepas dan sehingga kini tiada jalan penyelesaian dilakukan pihak berkuasa.

"Kerugian yang dialami jangan cakaplah...untuk tahun ini sahaja sudah lapan ekor anak lembu bernilai lebih RM35,000 mati akibat penyakit bawaan banjir dan enam lembu bunting keguguran. Kerugian ini belum termasuk kos ubat-ubatan untuk merawat lembu yang sakit akibat banjir," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Mohd Anuar berkata lebih merunsingkannya apabila setiap kali berlaku banjir kilat, dia perlu mengeluarkan kos makanan yang lebih tinggi dengan membeli dedak, hampas kelapa atau hampas soya bagi menggantikan rumput yang menjadi makanan utama haiwan peliharaannya itu.    

Katanya ini kerana setiap hari haiwan tersebut akan dilepaskan untuk meragut di kawasan berumput berhampiran tetapi apabila banjir berlaku, kawasan terlibat ditenggelami air dan diselaputi lumpur tebal dan dalam masa yang sama beliau tidak dapat menebas rumput untuk bekalan haiwan ternakannya itu.

Mohd Anuar berkata justeru beliau terpaksa membelanjakan kira-kira RM500 sehari untuk membeli kira-kira lima guni dedak bagi 40 ekor lembunya itu sehingga bekalan rumput diperoleh.

"Ikutkan lima guni dedak memang tidak cukup sehari untuk 40 ekor lembu yang ada...jadi terpaksa cari bekalan hampas kelapa atau soya. Bukan mudah apabila banjir berlaku kerana fokus perlu diberikan kepada lembu bagi ibadah korban yang telah ditempah dan dibayar wang pendahuluan oleh pembeli.

"Kalau lembu korban berkenaan mati sebelum disembelih pada masanya, saya juga yang perlu menanggung kerugian dan memulangkan semula wang pendahuluan tersebut. Kadangkala rasa putus asa untuk meneruskan perniagaan ini tetapi rasa sayang pula kerana setiap tahun ada permintaan lembu korban," katanya.

Mengulas tentang punca banjir kilat yang kerap berlaku di kampung itu, beliau berkata bencana itu akan berlaku setiap kali hujan lebat di kawasan tersebut dalam tempoh yang lama dan ada kalanya banjir berlaku akibat air hujan dari kawasan Sungai Udang turun ke kampung berkenaan.

Katanya beberapa usaha telah dilakukan pihak berkuasa termasuk menyelenggara dan mendalamkan sungai di kampung tersebut namun situasi itu belum ada penghujungnya.

"Memang kawasan ini pihak berkuasa telah maklum tentang banjir kilat yang kerap berlaku dan saya juga telah memohon bantuan bekalan dedak daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar namun sehingga kini belum diluluskan," katanya.

Mohd Anuar berkata selain kandang lembunya, banjir kilat berkenaan juga turut memusnahkan tanaman sayur-sayuran dan padi yang diusahakan lebih 50 petani di kawasan berkenaan.

Tinjauan Bernama kira-kira 9 pagi tadi turut mendapati masih ada beberapa kawasan pertanian di kampung itu ditenggelami banjir kilat dan memusnahkan hasil tanaman petani.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan