BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
BENCANA NEGARA

24 koperasi di Perlis terima bantuan sebanyak RM1.12 juta

25/06/2022 05:12 PM

KANGAR, 25 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah menyalurkan bantuan sebanyak RM1,122,000 kepada 24 koperasi di Perlis yang terjejas akibat COVID-19 menerusi lima program.

Ketua Setiausaha MEDAC Datuk Suriani Ahmad berkata kerajaan kini lebih memfokuskan pembangunan semula koperasi yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 dan Pelaksanaan Kawalan Pergerakan sepanjang tempoh Mac 2020 hingga April 2022.

“Beberapa pakej bantuan telah dilancar dan disalurkan kepada semua koperasi yang layak dan jumlah yang disalurkan pada tahun 2021 sehingga hari ini ialah sebanyak hampir RM 21 juta melibatkan 542 koperasi di seluruh Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Perlis Sempena Sambutan 100 Tahun Koperasi di pekarangan Pasar Terapung Jabatan Pengairan dan Saliran di sini hari ini.

Beliau berkata bagi kemudahan Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia Perlis, permohonan sebanyak RM2,223,600 melibatkan tiga koperasi telah diluluskan pada 2021.

“Ini menunjukkan bahawa gerakan koperasi di Perlis berpotensi untuk terus berkembang dan sentiasa memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk pembangunan sosioekonomi negeri,” katanya.

Suriani berharap kerajaan negeri dapat melibatkan koperasi dalam Pelan Pembangunan Ekonomi Negeri agar lebih banyak bantuan kewangan berbentuk geran dan pembiayaan dapat disalurkan terus kepada rakyat di Perlis.

“Antara program yang boleh dirangka oleh kerajaan negeri ialah menggalakkan koperasi untuk terlibat dalam sektor agromakanan dan pertanian, khususnya dalam penternakan ayam, agar dapat membantu mengurangkan harganya di pasaran selaras dengan usaha yang sedang dilaksanakan di peringkat Persekutuan,” katanya.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man pula berkata isu kenaikan harga barangan keperluan yang semakin menjadi-jadi sebahagiannya adalah disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk pengawalan harga oleh kartel dan monopoli pihak atau kumpulan tertentu.

Beliau berkata masalah itu boleh ditangani melalui konsep kerjasama antara koperasi dan keprihatinan terhadap masyarakat seperti yang digariskan dalam tujuh prinsip koperasi.

“Usaha dan kerjasama dalam kalangan koperator perlu ditingkatkan dalam bidang pemborongan dan peruncitan bagi memastikan gerakan koperasi mempunyai penawaran disepadukan yang akhirnya memberi kelebihan kepada koperasi dalam proses melibatkan urus niaga dengan pembekal,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan