BENCANA NEGARA

JAKIM DIARAH SELARAS BANTUAN MUSA'ADAH BANTU MANGSA BANJIR KILAT DI BALING

05/07/2022 10:54 AM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah menyelaras segera bantuan Musa’adah bersama-sama pihak berkuasa di Kedah bagi membantu penduduk yang terkesan dan terjejas akibat banjir di Baling, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata selain JAKIM, agensi-agensi hal ehwal Islam di bawah jabatannya juga telah diminta untuk turut bersama turun ke lapangan bagi menghulurkan bantuan. 

“Saya mengikuti laporan media yang melaporkan kejadian banjir lumpur melanda beberapa kawasan di daerah Baling, Kedah. Dari lubuk hati yang dalam, saya berasa amat dukacita dan bersimpati dengan para penduduk yang terlibat,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya. 

Beliau turut mendoakan semua pihak yang terlibat dikurniakan kesabaran serta ketabahan menghadapi ujian itu, selain menyeru seluruh masyarakat termasuk jemaah haji di Makkah bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negara.

Setakat pukul 2 pagi tadi 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di Baling dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan 85 rumah dilaporkan terjejas ekoran bencana banjir kilat kira-kira pukul 4 petang semalam.

Sementara itu Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata Jabatan Pendidikan Kedah serta Pejabat Pendidikan Baling telah diminta bersiap sedia dan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk membuka sekolah untuk dijadikan PPS banjir.

“Saya akan terus mengikuti perkembangan situasi ini dan memastikan kebajikan warga pendidikan yang terkesan diberikan perhatian. Sama-sama kita doakan semoga banjir tidak berlarutan dan usaha membantu serta menyelamatkan penduduk terlibat dipermudahkan,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.

Beliau berkata setakat ini kira-kira sembilan sekolah di bawah KPM di kawasan itu dilaporkan terkesan akibat banjir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan