BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
BENCANA NEGARA

Dakwaan tanaman durian punca banjir, Ahli Parlimen mahu projek dihentikan

05/07/2022 05:02 PM

BALING, 5 Julai (Bernama) -- Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berharap projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas di sini dihentikan, selepas ia didakwa sebagai antara punca kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di beberapa buah kampung di daerah ini, petang semalam.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya yang mewakili penduduk di kawasan sekitar telah menghantar memorandum bantahan projek itu kepada Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Saya mewakili penduduk sudah membawa memorandum bantahan yang ditandatangani oleh 900 penduduk sekitar berserta dengan nombor kad pengenalan mereka, penduduk pun sudah banyak kali melakukan demonstrasi berhubung isu ini.

"Projek ini diluluskan oleh kerajaan negeri sebelum ini, isu ini bukan sebulan dua tapi sudah bertahun-tahun," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian di Kampung Iboi di sini hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa sedih dengan bencana itu yang mengorbankan tiga beranak berusia antara 14 hingga 53 tahun termasuk seorang wanita hamil empat bulan.

"Saya sudah cakap dalam Parlimen enam bulan lalu, kita di Baling perlukan RM300 juta untuk menyelesaikan isu banjir di Baling, sudah berulang kali saya merayu termasuk kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air, akhirnya hari ini berlaku juga kejadian tidak diingini," katanya.

Sementara itu Muhammad Sanusi dalam sidang media hari ini berkata dakwaan bahawa projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas sebagai punca kejadian itu belum disahkan.

Katanya dakwaan itu perlu disahkan dengan maklumat lengkap sebelum sebarang tuduhan dilemparkan kepada pihak yang terbabit.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan