BENCANA NEGARA

TAMBAHAN ANGGOTA BOMBA KE BALING IKUT SITUASI SEMASA - REEZAL MERICAN

05/07/2022 08:55 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Tambahan anggota bomba dari negeri lain untuk membantu mangsa banjir di Baling, Kedah akan disalurkan dengan segera berdasarkan situasi serta keperluan semasa, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata setakat ini, kekuatan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) adalah seramai 146 orang melibatkan anggota dan pegawai kanan JBPM Kedah serta empat pasukan khas iaitu Pasukan Operasi SAR, Pasukan Penyelamat di Air, Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia dan Pasukan Unit Dron.

Reezal Merican berkata pasukan itu turut melibatkan tiga unit sokongan dari Perlis, Perak dan Pulau Pinang.

“Maklumat terkini kejadian banjir di Baling mencatatkan 270 mangsa dari 17 kampung yang terjejas telah berjaya diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara terdekat.

“Saya turut menerima laporan mutakhir masa nyata daripada Pengarah Bomba Negeri mengenai keadaan semasa di Baling khususnya di kawasan yang masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga,” menurutnya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula berkata pihaknya dengan kerjasama Majlis Belia Negeri telah mengaktifkan misi sukarelawan Rakan Muda di daerah terbabit malam tadi.

Beliau berkata inisitiaf itu digerakkan melalui Pejabat Belia dan Sukan Daerah (PBSD) Baling berdasarkan arahan serta ketetapan bagi menempatkan penugasan sukarelawan yang diselaras bersama dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana diketuai Pejabat Daerah dan Tanah Baling.

“Sebagai permulaan, seramai 75 sukarelawan dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Baling telah mula menjalankan kerja-kerja pembersihan di dua lokasi iaitu di Kampung Tiak dan Kampung Bok Bak,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Ahmad Faizal berkata Kementerian Belia dan Sukan juga menyeru serta menyambut baik mana–mana pihak yang ingin menyertai misi itu dengan mendaftar menerusi pautan https://forms.gle/A1d8HBRo88VJwdN28.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh berhubung dengan Pegawai Penyelaras PBSD Baling iaitu Farid Zakwan di talian 04-4701 279 atau 018- 4689 767.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata atas dasar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin dan kebersamaan Keluarga Malaysia terhadap mangsa banjir, sukarelawan Universiti Awam dan Yayasan Sukarelawan Siswa turut digerakkan ke kawasan terjejas.

“Sebagai permulaan, KPT menggerakkan lebih 400 sukarelawan secara berperingkat bagi menyantuni keperluan mangsa banjir dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan termasuk kerja-kerja pembersihan, pembekalan pakaian dan bekalan stok makanan serta penjagaan kendiri kepada yang memerlukan,” menurutnya dalam kenyataan.

Insiden banjir dan fenomena kepala air yang berlaku pada kira-kira 4 petang semalam di Baling telah mengakibatkan tiga nyawa terkorban manakala beratus-ratus penduduk ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara dan lebih 80 rumah terjejas.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan