BENCANA NEGARA

PENIAGA RUGI RM200,000 BAKERI MUSNAH DALAM INSIDEN BANJIR, FENOMENA KEPALA AIR

06/07/2022 02:16 AM

BALING, 5 Julai (Bernama) -- Arus deras banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di Kampung Iboi di sini menyebabkan seorang pengusaha bakeri kerugian kira-kira RM200,000.

Menceritakan pengalamannya, Nurul Halimah Kuin, 29, berkata dalam insiden pada kira-kira 4.30 petang itu, keseluruhan premis kedai yang terletak di tebing Sungai Iboi ranap sepenuhnya dibawa arus.

"Masa kejadian itu, hujan tidak terlalu lebat tapi air sungai naik sangat cepat dan memasuki kedai. Saya berlari ke rumah yang terletak berhampiran untuk meminta bantuan bapa mertua tapi dia tiada di rumah.

"Saya kembali semula ke kedai namun air sudah naik setinggi semeter. Saya jerit minta tolong penduduk untuk selamatkan ibu mertua serta seorang pekerja dan Alhamdulillah, mereka berjaya diselamatkan," kata peniaga itu kepada pemberita di tapak kedainya di Kampung Iboi, Kupang di sini hari ini.

Nurul Halimah berkata kejadian itu berlaku amat pantas sehingga dia tidak sempat menyelamatkan sebarang peralatan dan barangan selain wang tunai di dalam kedainya.

Katanya dia juga tidak dapat menyiapkan banyak tempahan kuih raya yang diterima daripada pelanggan sempena Aidiladha.

Bagaimanapun, Nurul Halimah bersyukur kerana dia dan keluarganya terselamat walaupun mengalami kerugian yang agak besar.

"Saya tak larat nak menangis ...tapi saya bersyukur kerana kami semua selamat kerana ada orang lain yang kehilangan ahli keluarga dalam kejadian ini," katanya.

Insiden banjir dan fenomena kepala air yang berlaku petang semalam itu mengorbankan tiga beranak manakala sembilan rumah musnah dihanyutkan arus deras.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan