BENCANA NEGARA

KERAJAAN SELANGOR HANTAR MISI BANTUAN PASCABANJIR KE BALING

06/07/2022 11:09 AM

SHAH ALAM, 6 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor hari ini menghantar misi bantuan pascabanjir ke Baling, Kedah bagi membantu usaha pemulihan keperluan asas agar mangsa yang terjejas dapat segera pulang ke rumah masing-masing. 

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata seramai 189 anggota dari 12 pihak berkuasa tempatan dan 20 anggota sukarelawan Selangor Volunteer (SERVE)  terlibat dalam misi tersebut yang dijalankan selama tiga hari sehingga Jumaat ini. 

“Selain itu kami turut menghantar 33 jentera termasuk lori, tong roro, jengkaut dan pacuan empat roda selain 112 peralatan pembersihan pascabanjir,” katanya kepada media selepas melancarkan pelepasan misi pembersihan kejadian banjir di Baling, di sini hari ini. 

Menurutnya tumpuan misi tersebut adalah bagi memulihkan keperluan asas untuk 1,424 penduduk di 12 kampung yang terjejas termasuk mengalihkan pokok-pokok dan menghubungkan jalan yang terputus serta kerja pembersihan di rumah mangsa banjir.

“Bantuan ini diharapkan dapat mengurangkan bebanan sahabat-sahabat kita di Kedah selain menjadi kesediaan untuk Selangor termasuk sebagai latihan lapangan yang mungkin berlaku dan pernah  pun berlaku pada tahun lepas. Ini juga adalah sebahagian persediaan kami menghadapi musim tengkujuh pada akhir tahun ini,” katanya. 

Media melaporkan kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku pada Isnin petang itu, turut mengorbankan tiga beranak manakala tujuh rumah musnah dihanyutkan arus deras.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan