BENCANA NEGARA

TRAGEDI BALING: NADMA, AGENSI KESELAMATAN, SUKARELAWAN GANDING BAHU BANTU MANGSA

06/07/2022 04:03 PM

Oleh Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Bencana banjir dan fenomena kepala air yang melanda daerah Baling di Kedah pada Isnin lepas, memperlihatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pelbagai lagi agensi keselamatan serta sukarelawan berganding bahu dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat.

Ketua Pengarah NADMA Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata seramai 205 anggota yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukaralewan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pengairan dan Saliran, sukarelawan bomba dan malim gunung telah digerakkan ke lokasi bagi membantu mangsa banjir.

Beliau berkata selain bantuan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, kerja pembersihan pascabanjir telah dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Pejabat Daerah Baling turut menerima bantuan peralatan daripada Pihak Berkuasa Tempatan dari luar Baling untuk membantu kerja-kerja pembersihan seperti lori sampah dan jentolak,” katanya kepada Bernama hari ini.

Aminuddin berkata pasukan keselamatan seperti tentera daripada 9 Briged, 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM, SMART NADMA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta pasukan sukarelawan dari Universiti Utara Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan pelbagai NGO turut menyumbang tenaga membantu pembersihan kawasan dan premis-premis yang terjejas.

Pengarah APM Kedah Lt Kol Awang Askandar berkata seramai 140 anggotanya telah digerakkan ke kawasan kejadian sebaik menerima laporan berlaku banjir dan kepala air di Kampung Iboi di Baling.

“Seramai 55 anggota APM terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga mangsa yang dilaporkan hilang akibat dihanyutkan banjir yang kemudiannya ditemukan telah meninggal dunia,” katanya.

Bagi penugasan pascabanjir, Awang berkata anggota APM yang berada di lokasi akan mengumpul maklumat dan laporan daripada mangsa banjir bagi melihat keperluan dan seterusnya menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

“Antaranya bantuan yang diperlukan ialah keperluan asas seperti makanan kering, susu bayi, lampin bayi, selain lori yang membawa bekalan air bersih dan alat pembersihan (pancutan air),” katanya.

Dalam pada itu, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) turut turun padang dengan menghantar 50 sukarelawan dalam misi bantuan banjir di Baling yang diketuai oleh Pengarah Urusannya, Shamir Aziz yang membawa barangan keperluan isi rumah bernilai RM50,000 menggunakan dua lori satu tan.

Menurut kenyataan AIM, selain barangan keperluan seperti tong gas, dapur, cerek, telekung, sejadah dan pakaian, misi itu juga akan membekalkan dua jentera berat yang akan digunakan untuk kerja-kerja mengalihkan pokok tumbang, kenderaan yang tersadai dan membersihkan rumah Sahabat (peminjam) yang terkesan.

“AIM akan memberikan moratorium bersasar selama enam bulan kepada Sahabat yang terjejas banjir. Mereka hanya perlu membuat permohonan di cawangan masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan seramai 115 Sahabat AIM terlibat dalam bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di sekitar Iboi, Jerai dan Kubang dua hari lepas.

Insiden banjir dan fenomena kepala air yang berlaku pada kira-kira 4 petang Isnin di Baling telah mengakibatkan tiga nyawa terkorban manakala beratus-ratus penduduk ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara dan lebih 80 rumah terjejas.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan