BENCANA NEGARA

BANJIR DI KEDAH: KERAJAAN TERENGGANU SUMBANG RM50,000, HANTAR SUKARELAWAN

07/07/2022 12:53 PM

KUALA TERENGGANU, 7 Julai (Bernama) -- Kerajaan Terengganu menghulurkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada kerajaan Kedah sebagai tanda keprihatinan terhadap kejadian banjir yang melanda beberapa kampung di daerah Baling pada Isnin lepas. 

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri juga akan menghantar skuad sukarelawan untuk membantu kerja-kerja pembersihan pascabanjir di sana.

“Kerajaan Negeri Terengganu turut berdukacita dengan situasi banjir yang berlaku di Baling, Kedah yang menyebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa beberapa hari lepas. 

“Takziah saya ucapkan kepada ahli keluarga mangsa, semoga mereka yang telah pergi menghadap Ilahi ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengajak orang ramai berdoa agar urusan mangsa-mangsa banjir dipermudahkan dan mereka diberikan ketabahan menghadapi dugaan berkenaan.

Bencana banjir dan kepala air itu menjejaskan 12 kampung di sekitar daerah Baling, Kedah membabitkan Kampung Iboi, Kampung Lata Celak, Kampung Padang Empang, Kampung Bukit Iboi, Kampung Masjid Iboi, Kampung Bendang Padang, Kampung Bendang Bechah, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Bukit Tinggi, Klinik Kampung Pisang dan Kampung Sadik.

Tiga sekeluarga berusia antara 14 hingga 53 tahun, termasuk seorang wanita hamil, ditemukan maut selepas dihanyutkan arus banjir di Kampung Iboi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan