BENCANA NEGARA

TIDAK PERLU SURUHANJAYA, JABATAN TEKNIKAL SEDIA ADA MAMPU SIASAT PUNCA BANJIR - TAKIYUDDIN

07/07/2022 05:21 PM

BALING, 7 Julai (Bernama) -- Tiada keperluan untuk mengadakan Suruhanjaya Siasatan Awam bagi mengenal pasti punca kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di beberapa buah kampung di daerah ini pada petang Isnin lepas, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata pelbagai jabatan teknikal yang berkaitan sedang membuat siasatan berhubung perkara itu dan akan membuat 'kesimpulan' serta menentukan punca tragedi itu.

"Saya percaya jabatan yang berkaitan sedang mengadakan siasatan di kawasan berkenaan. Sekiranya (punca) berkaitan dengan penanaman semula, ia di bawah Jabatan Perhutanan. Ini kita serah kepada jabatan-jabatan berkaitan untuk melakukan siasatan.

"Jadi tidak perlulah suruhanjaya siasatan dan sebagainya, jabatan kita pun mempunyai kemampuan dan kepakaran yang tersendiri," katanya dalam sidang media selepas mengunjungi tiga pusat pemindahan sementara dan melawat ke kawasan terjejas bencana banjir di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) agar Kerajaan Kedah mengadakan Suruhanjaya Siasatan Awam bagi mengenal pasti punca tragedi banjir di Baling pada Isnin lepas dan kejadian di Gunung Jerai, Yan tahun lepas.

Takiyuddin berkata pihaknya menjangka siasatan berhubung kejadian di Baling ini akan diselesaikan dalam masa terdekat memandangkan ia tidak melibatkan kawasan yang luas.

Beliau berkata Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) akan membuat tinjauan di kawasan Gunung Inas, di sini bagi melakukan siasatan dan mencadangkan tindakan yang sewajarnya.

"Seperti mana yang kita buat di Gunung Jerai (sebelum ini), JMG banyak melakukan siasatan berkaitan pengukuhan kawasan lereng yang berisiko dan sebagainya, banyak cadangan teknikal akan diberikan oleh JMG kepada jabatan lain termasuk Jabatan Kerja Raya dan sebagainya," katanya.

Takiyuddin turut menolak andaian bahawa jabatan-jabatan berkaitan lambat mengenal pasti kawasan yang berisiko berlakunya kejadian yang tidak diingini sehinggalah kejadian itu berlaku.

Katanya kerajaan dan jabatan yang berkaitan memberi keutamaan dan mengambil tindakan di kawasan yang telah dikenal pasti berisiko tinggi untuk berlaku bencana.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan