BENCANA NEGARA

BANTUAN UNTUK MANGSA BANJIR DI BALING PERLU MELALUI PKOB - POLIS

07/07/2022 07:20 PM

BALING, 7 Julai (Bernama) -- Polis Kedah meminta mana-mana pihak termasuk orang perseorangan ataupun badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin tampil memberikan bantuan kepada mangsa banjir di daerah ini perlu melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata pihak berkenaan perlu mendaftar dengan PKOB supaya pengagihan bantuan itu dapat dilaksanakan secara baik dan teratur.

"Kami mengalu-alukan bantuan daripada semua pihak tetapi kami boleh ambil tindakan sekiranya masih ada pihak yang ingkar (bergerak sendiri tanpa melalui PKOB) iaitu kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat berkaitan situasi semasa pascabanjir di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dekat sini hari ini yang turut disertai Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Selain itu,Wan Hassan berkata sejumlah 627 laporan polis diterima pihaknya berkaitan kerosakan rumah serta premis lain akibat bencana berkenaan dari 12 kampung yang terjejas dengan banjir itu.

"Laporan itu diterima setakat hari ini yang turut melibatkan 15 rumah yang lenyap terus akibat dihanyutkan banjir serta 18 kediaman lagi yang rosak teruk akibat bencana itu,” katanya yang turut memaklumkan kira-kira 200 anggotanya akan terlibat dalam kerja pembersihan rumah penduduk kampung terjejas.

Wan Hassan berkata fokus utama pihaknya dalam kerja pembersihan itu adalah di rumah-rumah ibadat, sekolah dan tempat orang ramai.

"...dan peruntukan daripada pihak kementerian juga telah diluluskan untuk melaksanakan proses pembersihan dan bantuan kemanusiaan untuk membantu mangsa banjir ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan