BENCANA NEGARA

WARIS FAJIM JUFFA LAYAK TERIMA BANTUAN FAEDAH PERKESO

06/08/2022 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Waris Allahyarham Fajim Juffa Mohd Mustafa Kamal, jurulatih penerbangan yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Ipoh, Perak pada 1 Ogos lepas, layak menerima bantuan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

PERKESO dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Fajim Juffa menerusi warisnya layak menerima bantuan Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) menerusi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) memandangkan nahas itu berlaku ketika Allahyarham sedang menjalani latihan penerbangan malam.

Kenyataan itu menyebut, Ketua Eksekutif PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed telah menyantuni waris juruterbang yang juga seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia itu serta menyampaikan kedua-dua bantuan faedah berkenaan.

"Waris telah menerima bayaran FPM sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar pada 3 Ogos lepas, manakala bayaran FOT sebanyak RM3,555 setiap bulan akan disalurkan kepada balunya (Hayati Nawi, 50,) untuk seumur hidup dan anaknya (Fatini Nadia Qistina Fajim Juffa, 17) sehingga usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

"Adalah menjadi harapan PERKESO agar bantuan faedah ini dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban dan memberi semangat kepada waris dan keluarga Allahyarham untuk meneruskan kehidupan," maklum kenyataan itu.

Dalam nahas pada kira-kira 8 malam itu, Fajim Juffa, 52, terkorban apabila pesawat ringan jenis Piper PA-28-161 Warrior II dikendalinya terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Medan Gopeng di Perak.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan