BENCANA NEGARA

BORANG PERMOHONAN BANTUAN IBU TUNGGAL DI JAPERUN - EXCO

09/08/2022 03:31 PM

MELAKA, 9 Ogos (Bernama) -- Borang bagi permohonan bantuan khas sekali beri untuk ibu tunggal kini boleh terus diambil di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) berhampiran.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin berkata sebelum ini borang permohonan itu perlu diisi di Pejabat Pembangunan Wanita di Menara Persekutuan Ayer Keroh.

Katanya, proses permohonan serta syarat yang dikenakan untuk bantuan itu dipermudahkan lagi supaya dana RM500,000 yang diperuntukkan kerajaan negeri kepada golongan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

“Setakat ini dianggarkan lebih 300 orang daripada 5,000 ibu tunggal di negeri ini yang telah memohon dan jumlah itu dijangka bertambah selepas kita mengumumkan permohonan dan penyerahan dibuat melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diuruskan oleh wakil rakyat kawasan mereka.

“Sebelum ini syarat ditetapkan antaranya pemohon perlu menyatakan jumlah tanggungan selain mengisi borang permohonan di Pejabat Pembangunan Wanita di Menara Persekutuan Ayer Keroh, tetapi kini mana-mana mereka yang bergelar ibu tunggal layak untuk memohon,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Kalsom menyempurnakan majlis Pra Pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat DUN Pengkalan Batu bersama pemandu kereta sewa di Terminal Melaka Sentral.

Beliau berkata bantuan itu adalah antara insentif yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2022 Melaka bagi meringankan beban golongan berkenaan.

Dalam pada itu beliau berkata seramai 40 pemandu teksi di Melaka Sentral dipilih sebagai duta untuk mengibarkan Jalur Gemilang sempena Program Merdeka @ Komuniti bagi sambutan Bulan Kebangsaan anjuran bersama Jabatan Penerangan Melaka.

"Pemandu teksi ini orang yang paling dekat dengan masyarakat, jadi apabila mereka ini mula kibarkan ia secara tidak langsung akan menarik perhatian dan semangat orang lain untuk turut sama kibarkan Jalur Gemilang, baik di kenderaan mahupun di kediaman, begitu juga premis perniagaan.

“Selepas dua tahun dilanda pandemik, pastinya kita mahu memeriahkan dan menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini dan bagi DUN Pengkalan Batu pelbagai program diatur melibatkan penduduk dalam menzahirkan semangat dan kecintaan kepada tanah air,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan