BENCANA NEGARA

DUA EMPANGAN SABO AKAN SEGERA DIBINA DI GUNUNG INAS - MUHAMMAD SANUSI

13/08/2022 10:32 PM

ALOR SETAR, 13 Ogos (Bernama) -- Dua empangan sabo di kaki Gunung Inas, Baling akan dibina secepat mungkin bagi memperlahankan aliran air sungai dan menyekat aliran puing yang boleh mengakibatkan berlaku fenomena kepala air di kawasan berpenduduk.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengenal pasti lokasi bagi pembinaan empangan itu yang sebelum ini dibina di kaki Gunung Jerai, Yan.

"Di Gunung Inas, JPS beritahu nak bina dua empangan sabo, akan dibuat majlis pecah tanah secepat mungkin bagi pembinaan empangan pertama untuk memperlahankan aliran air dan menahan reba-reba kayu daripada menghentam orang ramai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah pemulihan kerosakan kawasan hutan di Gunung Jerai ekoran aktiviti ladang hutan dan kesan bencana aliran puing pada 4 Julai lepas.

Muhammad Sanusi juga berkata kesan kerosakan akibat aliran puing di gunung itu, jika dipulihkan sekalipun dengan ditanam semula pokok hutan, akan terus menjadi laluan air pada masa akan datang.

Katanya apa yang boleh dilakukan di kawasan itu ialah membina empangan sabo bagi memperlahankan aliran air.

Beliau berkata insiden hutan yang terjejas dan menjadi laluan air bukan hanya berlaku di Gunung Inas tetapi juga di kawasan lain.

"(Kawasan) Yang sudah ditebang atau dibalak, 30 tahun (lagi) ia akan jadi hutan balik, di tempat lain pun kalau kawasan hutan itu sudah jadi laluan air, bentuk muka buminya akan kekal macam itulah," katanya.

Bencana banjir dan aliran puing yang berlaku pada 4 Julai lepas meragut tiga nyawa termasuk seorang wanita hamil empat bulan serta menjejaskan 12 kampung sekitar Daerah Baling.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan