BERITA COVID–19   Penyelidik Taiwan temui kaedah rawat pembekuan darah pesakit COVID-19 | Pemilik premis dibenar tentukan pemakaian pelitup muka | Kementerian Kesihatan pertimbang beli vaksin COVID-19 lawan varian Omicron - Khairy | Kes baharu COVID-19 turun 16.9 peratus minggu lepas - Dr Noor Hisham | Jepun akan mudahkan¬†prosedur kuarantin COVID-19 di lapangan terbang | 
BENCANA NEGARA

Ambil iktibar tragedi Tanduo, pentingnya semangat patriotik

14/08/2022 06:37 PM

LAHAD DATU, 14 Ogos (Bernama) -- Peristiwa pencerobohan pengganas pada Mac 2013 di Kampung Tanduo dekat sini perlu menjadi iktibar dan ingatan betapa pentingnya perpaduan serta semangat patriotik dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman anasir luar.

Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Abdul Hakim Gulam Hassan berkata semangat berganding bahu semua pihak termasuk rakyat dan pihak berkuasa menghadapi ancaman itu akan sentiasa dalam ingatan rakyat negara ini khususnya penduduk Lahad Datu.

"Aset-aset pertahanan semua dikerah ke sini (Lahad Datu) dan seluruh Keluarga Malaysia berdoa untuk keselamatan kita di sini dalam erti kata lain rakyat Malaysia ketika itu bersatu padu demi kita.

"Selaku rakyat Malaysia, kita perlu sentiasa bersyukur dan ingat kemerdekaan itu tidak boleh dibeli, kita perlu teguh bersama dan setiap kali sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia… kibarkan Jalur Gemilang, tunjukkan rasa cinta kita kepada negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Konvoi Kembara Keluarga Malaysia Sabah dan kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat daerah di sini hari ini.

Abdul Hakim berkata selepas lebih enam dekad negara mengecapi kemerdekaan, rakyat boleh menikmati pembangunan ekonomi serta hidup sejahtera sekali gus ia perlu disyukuri rakyat segenap peringkat di negeri ini.

Sementara itu, Pegawai Daerah Lahad Datu Firuz Idzualdeen Mohd Dzul berkata pihaknya merangka pelbagai program bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia antaranya pertandingan keceriaan kampung serta sekolah.

"Kita mengajak orang ramai meraikan sambutan Bulan Kebangsaan ini dengan meriah dan sertai program yang dianjurkan," katanya. 

Sementara itu di TAWAU, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy ketika melancarkan Program Jalur Gemilang Komuniti Keluarga Malaysia Peringkat Mukim Kampung Pasir Putih di sini berkata sikap tidak menyelewengkan bantuan kerajaan juga adalah tanda cinta kepada negara.

"Ada pihak tidak bertanggungjawab yang menyeludup keluar barang bersubsidi ke negara jiran dan menjual pada harga yang lebih tinggi. Ketirisan keluar barang bersubsidi ini boleh menyebabkan kekurangan bekalan untuk rakyat tempatan dan negara mengalami kerugian.

"Kerajaan banyak membantu rakyat menerusi subsidi, malangnya ada yang  mengambil kesempatan dalam perkara ini," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan