BENCANA NEGARA

PRIHATIN SASAR BANTU 6,000 PELAJAR SABAH KE MENARA GADING

19/08/2022 11:30 PM

TAWAU, 19 Ogos (Bernama) -- Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) menerusi Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) menyasarkan untuk membantu 6,000 pelajar di Sabah melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi pada tahun ini.

Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata jumlah itu yang bertambah berbanding 5,000 pelajar sebelum ini, merangkumi  lima kawasan luar bandar serta sembilan parlimen di negeri itu.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah meminta sekretariat PRIHATIN meneruskan bantuan berkenaan di Sabah.

"Sebenarnya ini tahun keempat kami sampai ke Sabah selepas 2016, 2017, 2018 kemudian berhenti seketika sebab COVID-19, Perdana Menteri pada waktu itu merupakan menteri mentor bagi program JPKM ini dan sekarang beliau minta agar program bantuan ini diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran JPKM 2022 yang disempurnakan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy di sini hari ini.

Program sehari itu disertai 20 institusi pengajian tinggi awam dan swasta, institusi kemahiran tinggi serta rakan strategik.

Sementara itu, Andi Muhammad Suryady berkata JPKM 2022 merupakan inisiatif serta projek khas Perdana Menteri dalam membuka peluang kepada masyarakat terutama penduduk pedalaman atau luar bandar untuk akses pendidikan tinggi.

Beliau turut berharap supaya kerajaan pusat dapat mewujudkan sebuah pusat pengajian tinggi di Kalabakan bersesuaian dengan peningkatan jumlah penduduk di daerah berkenaan.

"Pelajar dari Kalabakan ramai yang berpotensi meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi, namun mereka tidak dapat berbuat demikian disebabkan masalah ekonomi keluarga. 

“Warga Kalabakan dan Tawau juga menanti kewujudan pusat pengajian tinggi ini di sini," katanya.

Jabatan Perangkaan merekodkan bancian penduduk bagi Tawau serta Kalabakan seramai 514,000 orang bagi 2020.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan