BERITA PRU15   Anwar alu-alukan komitmen Warisan sokong pembentukan kerajaan perpaduan | DUN Tioman: Calon BN sambut baik kesediaan calon PH beri laluan | Kedah disaran beri cuti khas hari mengundi Parlimen Padang Serai | Gerakan minta ahlinya fokus PRN tahun depan - Dominic Lau | PH Pahang sokong untuk bersama BN bentuk kerajaan negeri | 
BENCANA NEGARA

KKM, Mindef wujudkan rangka kerja untuk optimumkan aset, sumber

27/09/2022 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pertahanan (Mindef) akan mewujudkan satu rangka kerja baharu untuk melihat secara keseluruhan kerjasama yang boleh dicapai kedua-dua pihak supaya dapat mengoptimumkan aset dan sumber dua kementerian berkenaan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata perkara ini susulan kerjasama yang baik antara dua kementerian itu dalam menguruskan pandemik COVID-19 sebelum ini.

“Contohnya di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan ada keperluan sumber manusia yang mungkin boleh ditampung oleh KKM.

“Mungkin ada peralatan atau jentera di kawasan pedalaman, yang ada pada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang boleh KKM atur kedudukan apabila diperlukan,” katanya pada sidang media selepas melawat HAT Tuanku Mizan bersama Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, hari ini.

Khairy berkata kerjasama antara KKM dengan Mindef yang wujud sebelum ini perlu diangkat ke peringkat lebih tinggi dengan misi yang jelas melalui rangka kerja baharu.

Sementara itu, beliau berkata KKM dan Mindef bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh dan bencana banjir pada akhir tahun ini.

Menurutnya, beliau dan Hishammuddin telah diberikan taklimat kesiapsiagaan ATM dan KKM untuk membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya negara dilanda bencana banjir.

Khairy juga memaklumkan bahawa lawatan dua menteri itu pada hari ini, adalah berikutan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mesyuarat Jemaah Menteri lepas agar kementerian-kementerian yang berkenaan melaksanakan kesiapsiagaan mantap untuk berdepan musim tengkujuh dan bencana banjir.

Selain itu, Khairy juga berterima kasih kepada ATM kerana bertindak secara pantas dalam pembinaan hospital-hospital medan di beberapa negeri ketika pandemik COVID-19.

Justeru, katanya KKM menyokong perolehan ATM dan Mindef untuk menambah peralatan dalam usaha memantapkan lagi kesiapsiagaan hospital-hospital medan di negara ini.

-- BERNAMA

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan