BENCANA NEGARA

YPM SUMBANG WANG TUNAI, KELENGKAPAN SEKOLAH BUAT PELAJAR TERJEJAS BANJIR

27/09/2022 03:45 PM

BATU PAHAT, 27 Sept (Bernama) -- Yayasan Pelajaran MARA (YPM) menyumbang kira-kira RM10,000 dan kelengkapan persekolahan kepada 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gading, dekat sini, yang terjejas banjir sejak 14 Sept lepas.

Pengerusi YPM Datuk Mohd Razman Yaacob berkata sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya di Johor pada tahun ini.

Katanya, sumbangan itu termasuk pemberian tunai RM100 setiap seorang dan peralatan persekolahan kepada murid sekolah berkenaan.

“Bagi tahun ini sehingga Ogos, Program CSR Pendidikan MARA di Johor telah memberikan sumbangan sebanyak RM177,962 melibatkan 1,568 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah.

“Pada kali ini yang telah memasuki siri kelapan pada 2022, pihak YPM juga memberi sumbangan dan manfaat kepada 50 murid di SK Seri Sempurna, Batu Pahat; 57 murid di SK Labis di Segamat serta empat murid miskin di Ulu Tiram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di daerah ini setakat 12 tengah hari tadi.

Menurut kenyataan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), tiga PPS berkenaan adalah di Sekolah Agama (SA) Seri Bengkal, SK Peserai dan SK Sungai Suloh.

"Seramai 215 mangsa daripada 57 keluarga masih ditempatkan di ketiga-tiga PPS berkenaan dengan banjir melibatkan kawasan Kampung Seri Bengkal, Kampung Bintang Peserai, Kampung Dalam, Kampung Sungai Suloh, Kampung Sungai Suloh Besar dan Kampung Patah Pedang," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, dua PPS di Pontian iaitu SA Kayu Ara Pasong dan Pusat Kokurikulum Johor Sungai Tempayan ditutup masing-masing pada 1 tengah hari dan 6 petang semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan