BENCANA NEGARA

MB NEGERI SEMBILAN INGATKAN KETUA JABATAN BERSEDIA, TURUN PADANG BERI BANTUAN BANJIR

28/09/2022 05:42 PM

SEREMBAN, 28 Sept (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini mengingatkan ketua-ketua jabatan di negeri ini supaya bersiap sedia dengan menggerakkan petugas dan aset masing-masing bagi menyegerakan bantuan kepada mangsa banjir.

Beliau berkata kebersamaan antara jabatan di negeri ini amat penting selain tidak menyerahkan tanggungjawab membantu mangsa banjir kepada pihak bomba, polis, tentera atau Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri semata-mata.

“Saya sudah tegur beberapa kali, sejak awal tahun ini apabila kita melakukan pascanilai banjir… antara teguran adalah ketua jabatan di peringkat negeri dan daerah perlu bersiap sedia. Sebagai contoh kalau Seremban tidak banjir, mereka perlu bantu di tempat lain, aset kena bergerak,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di  sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata generasi kedua dan ketiga Felda di negeri ini yang masih belum memiliki rumah akan menerima lot tanah rezab kerajaan negeri di tanah rancangan berkenaan bagi membina kediaman masing-masing. 

Beliau berkata sebagai permulaan, projek perintis itu akan dilaksanakan di Felda Palong 12 membabitkan keluasan tanah 5.8 hektar (14.3 ekar) yang bakal dimanfaatkan oleh 100 pemohon dalam kalangan generasi berkenaan. 

"Kita ada bincangkan isu tanah Felda, iaitu mana-mana tanah rezab kerajaan negeri di tanah rancangan Felda yang termaktub dalam perjanjian antara kerajaan Negeri Sembilan dan pihak Felda, kita bercadang untuk memberi lot rumah kepada generasi kedua dan ketiga Felda. 

"Kerja mengukur (tanah rezab) akan bermula dalam masa terdekat, paling lewat awal tahun depan. Kita akan beri lot rumah kepada generasi kedua dan ketiga ini, apa yang penting mereka akan bina rumah sendiri mengikut kemampuan mereka," katanya dan menambah keluasan setiap lot melibatkan 4,000 kaki persegi serta kos pembinaan ditanggung sendiri oleh penerima.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan