BENCANA NEGARA

SATU PUSAT MENGUNDI DI PARLIMEN SEPANG DITUKAR KE LOKASI BAHARU AKIBAT BANJIR

18/11/2022 02:46 PM

SHAH ALAM, 18 Nov (Bernama) -- Satu pusat mengundi di Parlimen Sepang iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Dengkil ditukarkan ke lokasi baharu di Sekolah Rendah Agama Dengkil, setelah bangunan berkenaan terjejas akibat banjir.

Berdasarkan salinan surat daripada Pegawai Pengurus Pusat Mengundi Parlimen Sepang Datuk Abd Hamid Hussain kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor, ia menyatakan pusat mengundi tersebut mengalami banjir dan tenggelam sepenuhnya, semalam.

Susulan itu, Abd Hamid menerusi suratnya bertarikh 17 Nov telah memohon pihak Pilihan Raya Negeri Selangor menukar pusat mengundi tersebut ke Sekolah Rendah Agama Dengkil.

Pengarah Pilihan Raya Negeri Shafie Taib pula hari ini telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memaklumkan perkara tersebut untuk tujuan perwartaan semula pusat mengundi berkenaan.

Parlimen Sepang menyaksikan pertembungan lapan penjuru membabitkan calon Barisan Nasional Anuar Basiran, Perikatan Nasional diwakili Datuk Seri Rina Mohd Harun, Datin Che Asmah Ibrahim (Pejuang), Raj Munni @ Aiman Athirah Sabu (Pakatan Harapan),  Mohd Daud Leong Abdullah mewakili Parti Utama Rakyat (PUR), R. Nageswaran (Parti Rakyat Malaysia), Mohd Syahrul Amri Mat Sari (Bebas) dan M. Muneswaran (Bebas).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan