BERITA TERGEMPAR   Banjir di Johor : Tangkak daerah kelapan dilanda banjir, mangsa seluruh negeri meningkat 4,868 orang setakat 8 pagi - JPBN | 
BENCANA NEGARA

SPR siap siaga hadapi banjir pada hari pengundian DUN Tioman

03/12/2022 12:04 PM

ROMPIN, 3 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam keadaan siap siaga menghadapi banjir pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman susulan Monsun Timur Laut.

Bagaimanapun, Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata setakat ini, tiada pusat mengundi bagi pilihan raya itu yang dibuka di kawasan berisiko banjir dan pengundi tidak perlu khuatir untuk keluar menunaikan tanggungjawab.

"Sembilan pusat mengundi yang kita sedia juga adalah sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) dan insya-Allah lokasi ini tidak ditenggelami banjir," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin hari ini. 

Sebanyak 17 pusat mengundi akan dibuka bagi PRU15 DUN Tioman dengan lima daripadanya terletak di Pulau Tioman. 

PRU15 DUN Tioman akan berlangsung Rabu ini (7 Dis) selepas ditangguhkan ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Pilihan raya itu melibatkan saingan lima penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan), Nor Idayu Hashim (Perikatan Nasional), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).  

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2023 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan