BENCANA NEGARA

MANGSA BANJIR DI SABAH MENINGKAT, JOHOR MENURUN

31/01/2023 05:59 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah merekodkan peningkatan manakala di Johor berkurangan, menjadikan jumlah terkini penduduk terjejas akibat bencana itu di seluruh negara seramai 3,166 orang, setakat petang ini.

Di SABAH, jumlah mangsa di empat daerah meningkat kepada 1,641 orang daripada 594 keluarga berbanding 1,532 daripada 560 keluarga pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), di daerah Telupid seramai 335 orang daripada 93 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 226 daripada 59 keluarga pagi tadi.

Di daerah Pitas, 1,152 daripada 450 keluarga; di Paitan, 111 mangsa daripada 40 keluarga manakala di Lahad Datu seramai 43 daripada 11 keluarga dipindahkan ke PPS.

Kesemua mangsa di empat daerah berkenaan dipindahkan ke 13 PPS iaitu tujuh di Telupid, Paitan (tiga), Pitas (dua) dan Lahad Datu (satu).

Di JOHOR, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,525 setakat 4 petang ini berbanding 2,138, pagi tadi.

Jumlah mangsa tertinggi ialah di Batu Pahat dengan 883 orang, diikuti Mersing (329), Kota Tinggi (223) dan Segamat (90).

Menurut JPBN, lima PPS ditutup hari ini menjadikan keseluruhan 17 PPS masih aktif setakat ini.

Di PAHANG, banjir pulih sepenuhnya apabila PPS terakhir di Rompin ditamatkan operasi hari ini. 

Sekretariat JPBN menerusi kenyataan melaporkan PPS Sekolah Kebangsaan Denai ditutup petang ini, selepas semua 27 mangsa yang ditempatkan di situ dibenarkan pulang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan