BENCANA NEGARA

BANTUAN JKM KEPADA WANITA KOMA SELEPAS DIPUKUL SUAMI DITERUSKAN

31/01/2023 07:08 PM

PUTRAJAYA, 31 Jan (Bernama) -- Bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada Jahidah Nordin, yang koma akibat dipukul suami, akan diteruskan bagi membantu meringankan beban keluarganya, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan Tabung Kasih kepada adik mangsa, Fauziah Nordin, di sini hari ini, Aiman Athirah berkata JKM mula menyalurkan bantuan bulanan RM500 kepada keluarga itu sejak Julai lepas. 

“Bantuan bulanan ini akan diteruskan termasuk sesi kaunseling kepada keluarga Jahidah. Kita juga akan lihat semula sekiranya ada keperluan menaikkan jumlah bantuan ini. KPWKM juga ambil berat urusan kebajikan Jahidah dan anak lelakinya yang masih kecil,” katanya.

Jahidah, 44, petugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor, dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada Mei 2021 selepas dipercayai dicederakan suaminya.

Beliau yang ketika itu hamil enam minggu mengalami kecederaan parah dan sebahagian tempurung kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan, selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak, disyaki dipukul.

Jahidah yang terlantar koma, selamat melahirkan bayi lelaki secara pembedahan pada Nov 2021.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan