BENCANA NEGARA

WARGA EMAS TIDAK PULANG KE RUMAH DIGENANGI AIR SELAMA DUA BULAN  

06/02/2023 05:00 PM

PASIR MAS, 6 Feb (Bernama) -- Seorang warga emas Asiah Mamat, 70, tidak pulang ke rumahnya dekat Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini selama dua bulan , berikutan kawasan penempatannya itu masih lagi digenangi air akibat banjir yang berlaku sejak November tahun lepas.

Asiah berkata beliau ketika ini terpaksa menumpang berteduh di rumah anaknya di Tanah Merah kerana sudah berasa letih untuk membersihkan rumahnya yang sering dilanda banjir setiap tahun.

"Jika sebelum ini, apabila air surut saya akan membersihkan kawasan rumah tetapi kali ini saya sudah tidak larat memandangkan usia juga semakin bertambah.

Malah, sejak banjir November tahun lalu air belum surut sepenuhnya, tiba-tiba paras air dari Sungai Lanchang dan Danau Tok Uban melimpah semula akibat hujan lebat minggu lalu," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya, di sini hari ini.

Beliau berkata bukan sahaja kawasan rumahnya ditinggalkan begitu sahaja malah segala peralatan dan perkakasan dapur turut dibiarkan kerana telah banyak rosak dan tidak boleh digunakan lagi akibat terlalu lama digenangi air.

Bagi Muhammad Afif Jazimin Ibrahim, 31, berkata keadaan rumahnya yang sentiasa digenangi air sejak tahun lepas menyebabkan beliau berasa tidak selesa dengan bau yang kurang menyenangkan.

"Saya sekeluarga sudah lali dengan keadaan ini termasuklah kena menggunakan titi setiap hari untuk keluar masuk ke rumah, malah saya turut membina sebuah bilik yang lebih tinggi dirumah untuk meletakkan barang-barang perabot dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, menurut laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/ setakat pukul 5 petang tadi, Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas merekodkan bacaan paras amaran iaitu 8.59 meter.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan