COVID-19

Koronavirus: Penganut Hindu, pengunjung kuil Batu Caves ambil langkah berjaga-jaga

07/02/2020 07:54 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb  -- Ramai penganut Hindu dan pengunjung di Kuil Sri Maha Mariamman Subramaniar Swamy di Batu Caves, di sini sehari sebelum sambutan Thaipusam, dilihat mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengenakan penutup hidung dan mulut susulan penularan kluster 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) di negara ini.

Malah, pasukan perubatan dan anggota polis yang bertugas mengawal trafik serta keselamatan kuil itu turut kelihatan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya dengan mengenakan penutup hidung dan mulut.

Bagi penganut Hindu, N.Praban, 30, penularan koronavirus tidak mematahkan semangat beliau untuk menjalani ritual keagamaan seperti yang biasa dilakukannya setiap tahun.

“Pada mulanya bimbang juga dengan macam-macam virus sekarang tetapi saya dah biasa ke sini setiap kali Thaipusam cuma kali ini pakai penutup hidung dan mulut seperti dinasihatkan,” katanya kepada Bernama.

Pelancong dari Jakarta, Indonesia, Romi Sap, 25, berkata beliau dan rakannya memastikan aspek pencegahan diutamakan ketika berkunjung ke kuil itu dan mengikut saranan oleh pemimpin negaranya supaya menjaga kesihatan dengan mengambil langkah sewajarnya.

“Pihak pemerintah kami juga menasihatkan supaya memakai penutup hidung dan mulut sama ada di dalam pesawat atau di mana saja,” katanya yang pertama kali berkunjung ke kuil itu yang merupakan tempat tumpuan yang menarik untuk dilawati. 

Tinjauan Bernama mendapati poster memaparkan nombor talian kecemasan digantung di sekitar kuil berkenaan bagi memudahkan pengunjung menghubungi pasukan perubatan.

Selain itu, beberapa ahli Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dilihat turut membuat rondaan di sekitar kawasan itu selain beberapa buah ambulans turut ditempatkan di kuil berkenaan.

Sementara itu, ketika ditemui di perkarangan kuil itu, Pakar Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Selayang Dr Siva Perumal berkata sebuah ambulans khas disediakan tahun ini khusus untuk sebarang kes kecemasan membabitkan koronavirus selain kesiapsiagaan pakar perubatan, pegawai perubatan dan jururawat. 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad semalam menasihatkan penganut Hindu dan pengunjung yang mahu menyertai sambutan Thaipusam mengambil langkah pencegahan awal bagi mengelak kemungkinan jangkitan 2019-nCoV. 

Lebih 1.5 juta orang dijangka hadir ke kuil di Batu Caves sepanjang perayaan itu bermula malam ini sehingga Ahad.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan